Najib terima anugerah tertinggi UAE

Bernama
Mei 18, 2014 22:26 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak dianugerahkan Pingat Union oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE), anugerah tertinggi untuk Ketua Negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dianugerahkan Pingat Union oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE), anugerah tertinggi untuk Ketua Negara, di sini hari ini.
Anugerah itu, yang diberikan sebagai menghargai sumbangan beliau ke arah mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, disampaikan oleh Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan di Istana Mushrif, di sini.
Perdana Menteri sebelumnya diberi sambutan rasmi di Istana. Najib yang tiba di sini malam tadi kini dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke ibu negara UAE dan ini merupakan lawatan kali kedua ke negara itu selepas menyandang jawatan perdana menteri pada April 2009.
Dalam lawatan itu, beliau diiringi oleh isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.
#Najib Razak #UAE