Najib terajui pertumbuhan Malaysia mengagumkan - Bekas diplomat Australia
Bernama
November 13, 2015 23:04 MYT
November 13, 2015 23:04 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya menerajui Malaysia untuk mencapai antara rekod pertumbuhan yang paling mengagumkan di Asia Tenggara dengan menggabungkan dasar-dasar ekonomi
pro-pasaran dan keterangkuman sosial, kata bekas Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia.
John Dauth, yang berada di Malaysia dari 1993 hingga 1996, berkata sejak Najib menjadi Perdana Menteri, 1.8 juta pekerjaan diwujudkan, membawa kepada kadar pengangguran 3.0 peratus — antara yang terendah di rantau ini dan separuh atau kurang daripada Indonesia (6.0 peratus) dan Filipina (6.8 peratus).
"Pertumbuhan tersebut turut menyaksikan transformasi taraf hidup, dengan purata pendapatan isi rumah meningkat lebih daripada 20 kali ganda. Malaysia mencatat prestasi baik dalam beberapa dekad ini selepas 1970.
"Sebagai hasilnya, negara berada di ambang melepasi had Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada US$15,000 per kapita dan bakal memasuki tahap pendapatan negara maju, dan matlamat Najib diberi tumpuan dalam program ekonomi 2016-2020 Malaysia," tulis beliau dalam ruangan pendapat untuk The Australian, yang disiarkan hari ini.
Beliau berkata Perdana Menteri mengambil langkah awal untuk mengukuhkan kewangan awam, penting sebagai penampan terhadap trend global, dan menurut rundingan Artikel IV Dana Monetari Antarabangsa baru-baru ini, "pengukuhan fiskal adalah tepat pada masanya, pada kadar yang sesuai, dan kekal pada landasan yang betul."
Dauth menekankan pada tahun lepas, Najib mengambil langkah berani dengan mengambil peluang daripada penurunan harga minyak untuk menghapuskan subsidi petrol dan diesel.
Ini tambahan kepada pengenalan cukai barang dan perkhidmatan pada kadar 6.0 peratus untuk mengukuhkan asas cukai negara dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas yang tidak menentu.
Dengan pelbagai pembaharuan dilaksanakan, defisit fiskal Malaysia hampir separuh sejak Najib menjadi Perdana Menteri dan bakal menjadi sifar pada tahun 2020.
Dauth berkata Malaysia merupakan sebuah negara dengan pertumbuhan ekonomi yang amat pesat ketika ini.
"Anda tidak akan mampu berbuat demikian tanpa kepimpinan yang baik daripada pemimpin seperti Najib," katanya.