Najib tentukan nasib UMNO - Tun M
Astro Awani
April 2, 2015 14:19 MYT
April 2, 2015 14:19 MYT
Dasar pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak memberi wang percuma dilihat menimbulkan kemarahan orang Melayu.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dasar itu sekali gus dilihat mengenetepikan Dasar Ekonomi Baru dalam usaha mendapatkan sokongan orang Cina.
"Namun penolakan BN dalam PRU 13 membuktikan orang Cina tolak pemerintahan Najib.
"Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Dato Sri Najib. Ahli UMNO dan pemimpinnya perlu sedar bahawa UMNO dan dengan itu BN akan kalah jika Dato Sri Najib memimpin UMNO hingga PRU 14.
"Apabila UMNO kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri," katanya dalam catatan terbaharunya di blog http://chedet.cc.
Kata Dr Mahathir, seandainya UMNO kalah kelak, ia dilihat satu situasi yang tidak dapat dipulihkan semula.
Dr Mahathir turut mengakui bukan mudah untuknya menulis catatan itu namun diteruskan demi bangsa dan negara.
"Ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang setia secara buta tuli kepada pemimpin. Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya," ujarnya.
Katanya, dia belum lagi nyanyuk ketika menulis catatan berkenaan.
"Saya belum nyanyuk walaupun umur hampir 90 tahun. Sesiapa yang berkata saya nyanyok sebenarnya menipu diri.
"Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri," jelasnya.
Katanya lagi, ramalan oleh masyarakat sekarang ialah UMNO dan BN akan kalah Pilihanraya Umum ke-14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.