Najib tarik balik saman terhadap Tony Pua

Sinar Harian
Mei 28, 2018 11:47 MYT
Najib mendakwa, dalam satu majlis makan malam, Pua telah memfitnahnya antaranya dengan menggambarkan pihaknya telah merompak duit rakyat berkaitan urus niaga 1MDB.
Datuk Seri Najib Razak hari ini menarik balik saman yang difailkan terhadap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee dan satu lagi berhubung kenyataannya dalam ucapan yang dirakam pada 3 November 2014 berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, saman anak guamnya itu ditarik balik tanpa kebebasan untuk memfailkan tindakan yang baharu.
Menurut beliau, bagaimanapun terma-terma penyelesaian antara pihak-pihak yang terlibat tidak didedahkan.
Sehubungan itu, katanya, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membatalkan tuntutan Najib.
Perkembangan kes itu turut disahkan oleh peguam Michelle Ng yang mewakili Tony dan peguam Shahid Adli Kamarudin bagi pihak pemilik portal dalam talian Mediarakyat.com, Chan Chee Kong.
Bekas Perdana Menteri itu selaku pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan menyatakan, Tony yang dinamakan sebagai pihak defendan merupakan salah seorang penceramah utama dalam satu majlis makan malam kutipan dana DAP, DAP Petaling Jaya Fund-Raising Dinner-New Chapter, New Hope.
Pihak plaintif menyatakan, dalam majlis tersebut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu telah memfitnahnya antaranya dengan menggambarkan pihak plaintif telah ‘merompak’ duit rakyat berkaitan urus niaga 1MDB.
Najib sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan, ganti rugi teladan untuk ditaksirkan oleh mahkamah.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #DAP #fitnah #ganti rugi #kutipan dana #mahkamah #majlis makan malam #Mohd Hafarizam Harun #Najib Razak #saman #Tony Pua
;