Najib: SPAD kaji semula kadar tambang teksi

Hakim Rahman
Julai 18, 2013 22:57 MYT
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, SPAD sedang mengkaji untuk menaikkan kadar tambang teksi dalam masa terdekat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kajian itu dilakukan dalam usaha meningkatkan taraf hidup pemandu teksi dan mutu perkhidmatan teksi.
Jelasnya kajian dibuat setelah mengambil kira kos yang ditanggung pemandu teksi berikutan peningkatan kos sara hidup.
"Saya difahamkan SPAD sedang menyemak kadar tambang teksi setelah mengambil kira peningkatan operasi harian" katanya selepas memberikan lesen individu kepada 500 pemandu teksi dan merasmikan Ibu Pejabat baru SPAD di Platinum Sentral di ibu Negara.
Tambahnya kerajaan sentiasa prihatin dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.
Sementara itu Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kenaikan tambang itu turut mengambil kira pandangan orang ramai.
"Kami ingin mewujudkan keseimbangan antara memberi servis yang baik dan membayar bagi perkhidmatan yang baik . Tiada jalan pintas dalam perkara ini dan kita pun kena prihatin terhadap kebajikan pemandu teksi juga,” katanya.
Jelas Syed Hamid semakan kini berada di peringkat akhir dan akan dibentangkan hujung tahun ini.
Kali terakhir semakan dibuat adalah pada tahun 2009.
Kadar tambang teksi semasa adalah RM 3 dengan caj tambahan sebanyak RM 0.10 dikenakan pada setiap 100 meter berikutnya.
#kadar #Najib Razak #SPAD #tambang #teksi
;