Najib: Sistem Raja Berperlembagaan wujudkan kemakmuran negara

Bernama
Januari 30, 2013 15:28 MYT
Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan negara sejak Merdeka terbukti berkesan mewujudkan kestabilan dan kemakmuran kepada negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata Institusi Beraja merupakan teras asas yang mendasari sistem tersebut sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.
"Peranan raja yang berada di atas politik kepartian telah menyumbang secara tuntas ke arah proses penyatupaduan rakyat majmuk dan pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang berjaya.
"Ia juga menyediakan landasan yang kukuh ke arah pencapaian wawasan nasional untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya dalam perutusan buku bertajuk "Raja Berperlembagaan Malaysia: Raja-Raja Melayu Abad 21", di sini hari ini.
Buku setebal 512 muka surat itu mendokumentasikan maklumat tentang Raja-Raja Melayu di sembilan buah negeri dan Tuan-Tuan Yang Terutama di empat buah negeri pada abad ke-21.
Ia adalah terbitan yang diberikan kebenaran khas daripada Kementerian Dalam Negeri menerusi Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran serta sokongan daripada Jabatan Perdana Menteri.
Najib berkata rakyat harus berbangga kerana institusi beraja di Malaysia terus berfungsi sebagai payung kepada rakyat apabila terdapat banyak negara yang tidak mengekalkan kedaulatan raja pada arus kemodenan ini.
"Peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak utama negara sentiasa dikagumi oleh masyarakat seantero dunia," katanya.
Katanya beliau berharap buku tersebut dapat sedikit sebanyak mendidik anak bangsa tentang institusi beraja di negara ini dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya pada buku itu berkata Malaysia sudah membuktikan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen adalah sistem pemerintahan paling efisien dan progresif kerana ia menggabungkan barisan kepimpinan negara yang menjunjung aspirasi rakyat.
Katanya selain itu, sistem pemerintahan sedia ada juga membantu pembangunan secara terancang dan tersusun dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat ke arah satu tingkat sosial yang lebih tinggi dan maju.
"Pada lewat arus kemodenan ini, institusi beraja ini amat penting dalam menjana keseimbangan politik selain mengekalkan kestabilan sesebuah negara.
"Peranan raja-raja dalam memelihara dan melindungi kedaulatan bangsa Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain wajar dijadikan aspirasi bagi rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, Pengarah Penerbitan buku tersebut Roslan Mohammed dalam satu kenyataan berkata buku itu akan membantu meningkatkan pengetahuan sejarah mengenai Raja-Raja Melayu di kalangan rakyat dan menjadi bahan rujukan sejarah yang penting bagi semua lapisan masyarakat.
Katanya sejak merdeka, tiada satu buku yang menggabungkan semua fakta dan maklumat penting berkaitan keunikan institusi beraja yang diamalkan di Malaysia.
"Sejarah mereka harus diketahui supaya rakyat berbilang bangsa di negara ini akan hidup lebih aman dan saling menghormati antara satu sama lain," katanya.
Buku yang telah diterbit dan diedarkan ke seluruh negara hampir dua bulan lalu, berharga RM350 senaskhah di Semenanjung dan RM380 di Sabah dan Sarawak.
#Datuk Seri Najib Razak #Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen
;