Najib seru umat Islam gerak semangat kesatuan bertunjangkan wasatiyyah

Bernama
Mei 26, 2014 21:19 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. -Gambar fail
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak umat Islam di negara ini bersama-sama mengambil iktibar peristiwa Israk dan Mikraj dengan menggerakkan semangat kesatuan bertunjangkan wasatiyyah serta mengukuhkan persaudaraan sesama umat Islam.
Perdana Menteri berkata jambatan silaturrahim juga perlu dijaga atas dasar perjuangan agama, permuafakatan, saling membantu, berkasih sayang tanpa mengira bangsa dan agama.
"Inilah tonggak keharmonian dan perpaduan di negara kita yang perlu dipertahankan bersama-sama," katanya dalam perutusan khas sempena peristiwa Israk dan Mikraj 1435H, yang dimuatnaik di laman blog www.1malaysia.com.my.
Beliau berkata antara hikmah bersejarah di sebalik peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab itu adalah sebuah persahabatan ikhlas yang ditunjukkan oleh (Khalifah) Abu Bakar sehingga mendapat gelaran As-Siddiq (yang benar) kerana terus membenarkan kata-kata Nabi Muhammad s.a.w berkenaan peristiwa Israk dan
Mikraj.
Najib berkata situasi itu mengajar bahawa kehidupan tidak semata-mata berpaksikan diri dan keluarga sahaja, bahkan ia meliputi jiran tetangga dan sahabat handai yang harus mengutamakan keikhlasan dan kejujuran.
Israk dan Mikraj disambut esok iaitu pada 27 Rejab setiap tahun hijrah.
Peristiwa Israk merupakan perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan diiringi oleh malaikat Jibrail dan Israfil, manakala peristiwa Mikraj pula perjalanan Rasulullah naik ke langit dengan ditemani malaikat Jibrail dan bertemu Allah.
Perdana Menteri berkata peristiwa Israk dan Mikraj juga mengajar supaya sentiasa berpegang kepada kebenaran sekalipun kebenaran itu mungkin tidak difahami dan disenangi oleh orang lain.
"Inilah hakikat yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW ketika baginda menyampaikan peristiwa ini kepada kaumnya.
"Justeru, umat Islam pada hari ini harus berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan, tuduhan dan fitnah semata-mata tanpa berlandaskan kepada fakta yang sahih dan benar," katanya.
Najib juga berkata peristiwa Israk dan Mikraj merupakan peristiwa yang sangat signifikan dalam sejarah perjuangan Islam sehinggakan pengajarannya tetap relevan hingga kini.
Oleh itu, Najib berkata umat Islam wajar meneladani segala sunnah yang ditinggalkan oleh insan agung itu untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
"Kaitkanlah apa sahaja yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dengan apa yang telah, sedang dan akan kita lalui kini. InsyaAllah, di situlah nanti akan terserlah kekuatan dan keberkesanan dalam setiap pemikiran dan tindakan kita.
"Walaupun kita sudah diangkat oleh Allah SWT menjadi Khaira Ummah (umat terbaik), tetapi kita masih perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai natijah yang terbaik iaitu mendapat keredhaan dari Allah SWT," katanya.
#Israk Mikraj #Najib Tun Razak #Wasatiyyah
;