Najib sertai ribuan rakyat meriahkan rumah terbuka Deepavali MIC
Bernama
November 2, 2013 13:09 MYT
November 2, 2013 13:09 MYT
Suasana meriah mewarnai sambutan Deepavali dengan rakyat Malaysia beragama Hindu mengadakan upacara keagamaan dan menerima kunjungan sanak saudara dan sahabat handai di rumah mereka.
Sambutan di perkarangan kompleks kuil Batu Caves di sini adalah antara acara kemuncak pada hari ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai ribuan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC.
Paluan gendang dan seruling memeriahkan ketibaan Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional pada kira-kira 10.15 pagi, dengan disambut Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan pemimpin-pemimpin parti.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu serta Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai.
Memakai kurta berwarna putih, Najib kemudiannya memotong kek bersama-sama dengan tetamu kehormat lain.
Najib dan Muhyiddin turut mengunjungi rumah terbuka Deepavali anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di Pusat Konvensyen HGH, Sentul, di sini.
Sementara itu, warga Sepanyol dari Barcelona yang hanya mahu dikenali sebagai Raphael, 66, berkata beliau teruja dengan sambutan Deepavali di Batu Caves yang begitu meriah dengan kehadiran bukan sahaja kaum yang menyambutnya bahkan bangsa lain.
"Ini kali pertama saya berada di sini dan saya begitu teruja dengan sambutan penuh warna warni dengan pelbagai aneka makanan. Sungguh meriah sekali," katanya kepada Bernama.
Warga emas, Mary Yim, 68, pula berkata beliau dan suaminya berada di sini semata-mata untuk merasai kemeriahan sambutan Deepavali selain menikmati makanan tradisional masyarakat India yang belum pernah dicuba.
Di IPOH, bekas exco kerajaan negeri Datuk G. Rajoo mengadakan rumah terbuka di kediamanannya di Taman Lim di sini.
Kerajaan negeri akan mengadakan rumah terbuka Deepavali peringkat negeri di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung esok dengan jangkaan kehadiran kira-kira 7,000 pengunjung.