Najib serah kepada Arab Saudi untuk pertimbangkan jumlah kuota jemaah haji Malaysia

Bernama
Jun 8, 2015 08:05 MYT
Najib ketika bertemu dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz, di Istana As-Salam pada Ahad. - fotoBERNAMA
Malaysia menyerahkan kepada pertimbangan kerajaan Arab Saudi berhubung jumlah kuota jemaah haji Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya beliau tidak boleh membuat sebarang pengumuman berhubung soal tersebut kerana jumlah kuota jemaah yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi adalah mengikut tuntutan dan permohonan daripada negara-negara lain.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas kemudahan yang diberikan untuk jemaah menunaikan ibadah haji di Tanah Suci," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Raja Salman Abdulaziz al-Saud di Istana As-Salam di sini pada Ahad.
Kuota jemaah haji Malaysia untuk musim haji 2015 kekal 22,230 orang.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pengekalan kuota yang dilaksanakan sejak 2013 itu diputuskan kerajaan Arab Saudi berikutan kerja perluasan dan pembangunan Masjidil Haram di Makkah yang masih berjalan.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata, beliau mewakili Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan jemputan kepada Raja Salman untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Beliau juga menjemput Putera Mahkota Mohammed bin Naif al-Saud untuk melawat Malaysia pada suatu masa yang sesuai.
Najib juga berkata selain itu, beliau juga menyatakan hasrat Malaysia untuk melihat lebih banyak pelancong termasuk pelajar dari Arab Saudi melawat Malaysia.
Petang ini, Najib berlepas ke Makkah untuk menunaikan umrah.
Sebelum itu, beliau meninjau stesen Mashaaer al-Mugaddasah (Laluan Selatan) projek Makkah Metro yang turut melibatkan syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Prasarana memenangi kontrak mengendali operasi dan penyelenggaraan fasa pertama sistem Pengangkutan Awam Makkah (Makkah Metro) itu.
#Arab Saudi #jemaah haji #kuota haji #Najib Razak
;