Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada orang Melayu dan Bumiputera bahawa partinya akan terus memperjuangkan nasib mereka selagi ada bulan dan bintang.

Najib berkata agenda pemerkasaan ekonomi Melayu dan Bumiputera yang merupakan kaum majoriti, sewajibnya menjadi agenda teras nasional.

Katanya, menyedari hakikat itu, sejak merdeka, UMNO dan Barisan Nasional telah mewujudkan pelbagai instrumen bagi memastikan kedudukan ekonomi orang Melayu terus berkembang dan dipelihara.

"Lantas, menjelang negara maju kelak, kita hendak melihat orang Melayu dan Bumiputera mencapai tahap

kemajuan yang setanding dengan orang lain tanpa meminggirkan pembelaan terhadap mana-mana golongan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-64, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Selain memperjuangkan orang Melayu dan Bumiputera, Najib juga mengingatkan supaya ahli-ahli parti pimpinannya didoktrinkan jati diri UMNO agar budaya kepartian, berakar umbi, terpateri dan tersemat kukuh dalam sanubari semua sebagai landasan perjuangan.

"Dalam konteks UMNO, program pengkaderan hendaklah merangkumi aspek seperti kreativiti, kemahiran-kemahiran

insaniah, budaya berfikir tinggi serta memahirkan mereka dengan teknologi terkini, untuk memudahkan penyampaian dasar-dasar parti dan kerajaan supaya diterima oleh rakyat serta responsif di dalam menyelami dan menyelesaikan masalah akar umbi.

"Memenuhi prinsip usul feqah, yang menyebut disiplin sebagai jalan tarbiyah dalam kepimpinan, program pengkaderan terutama kepada generasi muda bagi menghadapi pilihanraya akan datang tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.

"Ini supaya UMNO dapat melahirkan pemimpin yang komited, gigih serta istiqamah dalam perjuangan," katanya.

Najib juga menyarankan agar ahli-ahli UMNO supaya menjuarai teknologi maklumat kerana ia menjadi saluran utama dama penyebaran maklumat dan pengetahuan.

"Malah saya percaya, telefon pintar inilah akan menjadi instrumen paling besar dalam penentuan kalah menang pilihanraya yang akan datang.

"Oleh yang demikian, kita tidak boleh ketinggalan dan membiarkan pembangkang berwenang-wenang," jelasnya.

Najib yang juga Perdana Menteri menegaskan beliau akan memperkenalkan sistem Petunjuk Utama atau KPI untuk bahagian dan negeri bagi memastikan perjalanan jentera UMNO dapat bergerak dengan lebih berkesan menjelang Pilihanraya Umum ke-14.

Katanya melalui penetapan KPI itu, UMNO akan lebih bersedia untuk memenangi kawasan yang mereka tewas sebelum ini, disamping mengekal dan mengukuhkan pengaruh serta kedudukan di kawasan yang dimenangi sebelum ini, selanjutnya, mula merangka pelan gerak kerja untuk menawan kubu-kubu lawan.

"Melalui pelaksanaan KPI ini, sebagai Presiden parti, saya mahukan setiap cawangan, bahagian dan negeri dipantau dan diaudit secara berkala untuk dinilai prestasi serta pencapaian setiap negeri, bahagian atau cawangan.

"Melalui kaedah ini, sebarang isu, masalah atau ketidakpatuhan yang berlaku boleh dikesan dan tindakan korektif dapat diambil dengan segera," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO ke-64 yang disertai 5,726 ribu perwakilan bermula hari ini dan dijadualkan berakhir paad sabtu.