Najib saran luang lebih masa bersama keluarga elak masalah dadah
Astro Awani
Februari 18, 2014 21:23 MYT
Februari 18, 2014 21:23 MYT
Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan agar rakyat Malaysia agar meluangkan masa berkualiti dan memberi perhatian serta sentiasa berkomunikasi dengan baik bersama keluarga agar generasi muda tidak terpengaruh dengan gejala negatif.
Najib berkata, kerjasama semua pihak juga perlu bagi menjadikan komuniti di negara ini selamat daripada ancaman dadah.
Tambanya, kerajaan prihatin dengan masalah dadah yang dikatakan berpunca daripada kepincangan institusi keluarga justeru beliau menyeru masyarakat supaya memastikan setiap keluarga mengamalkan kehidupan yang sejahtera.
Beliau percaya situasi ini akan dapat menghindarkan masyarakat daripada masalah dadah.
Najib berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Anti-dadah 2014 yang bertemakan 'AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) Prihatin, Rakyat Sejahtera' yang akan disambut pada Rabu.
Menurutnya, maklumat Klinik Cure and Care 1Malaysia menunjukkan masalah itu telah bermula seawal umur 10 tahun.
Beliau turut menyebut kajian Universiti Utara Malaysia pada tahun 2009 yang mendapati sejumlah RM8.65 bilion telah dibelanjakan oleh kerajaan melalui kos langsung dan tidak langsung.