Najib saksi MoU sempena Pertandingan Seni Negaraku
Bernama
April 19, 2017 15:30 MYT
April 19, 2017 15:30 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersempena "Pertandingan Seni Negaraku" di Bangunan Perdana Putra di sini.
Pertandingan yang akan melibatkan 10,176 buah sekolah dan lebih lima juta pelajar seluruh negara bertujuan untuk menyuntik semangat cintakan negara melalui ekspresi seni visual di kalangan pelajar-pelajar sekolah.
Selain itu, program yang bermula pada 1 Mei sehingga 31 Ogos itu bertujuan untuk menanam sifat jati diri dan sayang kepada negara di kalangan pelajar selain memupuk penghargaan terhadap karya dan bakat seni pada usia muda di kalangan pelajar.
MoU tersebut ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof dan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa.
Hadir sama menyaksikan MoU tersebut ialah Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab Ghaffar A. Tambi.
Sementara itu, Mahdzir berkata pelajar prasekolah, sekolah rendah dan menengah akan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Beliau berkata kategori pertandingan terbahagi kepada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan dan karya nukilan pelajar yang terpilih dan menang akan dipamerkan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur pada Hari Malaysia.
Sementara itu, Mohamed Najib berkata hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 bakal menanti pemenang yang terpilih bagi setiap kategori.
Selain itu, beliau berkata hadiah khas akan diberikan kepada sekolah yang menghantar penyertaan terbanyak bagi peringkat sekolah rendah, menengah dan daerah.
Keputusan pertandingan akan diumumkan di Facebook rasmi Balai Seni Negara dan juga laman sesawang www.artgallery.gov.my -- BERNAMA
#Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
#Kementerian Pendidikan
#Mahdzir Khalid
#Memorandum Persefahaman
#MoU
#Najib Razak
#Pertandingan Seni Negaraku