Najib sakit mata, perbicaraan 1MDB ditangguhkan

Firdaus Azil
September 11, 2019 10:18 MYT
Sekiranya Najib mendapat sijil cuti sakit hanya untuk sehari, tiada masalah untuk meneruskan perbicaraan pada esok hari. - Gambar fail
Perbicaraan kes '1MDB-Tanore' melibatkan Datuk Najib Razak yang sepatutnya memasuki hari ketujuh hari ini, ditangguhkan selepas peguam beliau Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bekas Perdana Menteri itu mengalami konjunktivitis.
Muhammad Shafee berkata, setakat pagi ini, Najib belum lagi pergi ke klinik mata, namun beliau menjangkakan anak guamnya akan mendapat sijil cuti sakit (MC) untuk tempoh satu hingga dua hari.
“Semalam anak guam saya pergi ke perjumpaan di luar, dan beliau terus mengalami sakit mata. Tambahan pula dengan keadaan berjerebu di luar,” katanya ketika perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.
Muhammad Shafee berkata, sekiranya Najib mendapat sijil cuti sakit hanya untuk sehari, mereka tiada masalah untuk meneruskan perbicaraan esok.
Bagaimanapun, sekiranya MC itu diberi untuk tempoh dua hari, beliau memohon agar perbicaraan ditangguhkan ke Selasa depan memandangkan tempoh perbicaraan sebelum ini ditetapkan hanya dari Isnin sehingga Khamis.
Selain itu, hari Isnin depan telah ditetapkan sebagai cuti umum memandangkan ia jatuh pada 16 September, iaitu Hari Malaysia.
BACA: Adakah kes 1MDB dihadapi Najib bermula Isnin?
Barisan pendakwa raya yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, mereka tiada masalah dengan permohonan berkenaan.
Hakim kemudian meminta agar kedua dua pihak bersedia untuk meneruskan pendengaran pada dua Jumaat akan datang, sebelum menangguhkan perbicaraan.
#1MDB #konjunktivitis #mahkamah #Muhammad Shafee Abdullah #Najib Razak #sakit mata #sijil cuti sakit
;