Najib, Rosmah akan failkan permohonan batal pernyataan pembelaan Rafizi

Bernama
Ogos 5, 2015 12:39 MYT
Permohonan itu akan difailkan sebelum 21 Ogos ini dan mahkamah menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes saman berkenaan. - Gambar Fail
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan memfailkan permohonan bagi membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan satu lagi dalam saman fitnah berhubung isu subsidi minyak.
Peguam Choo Shi Jin, yang mewakili perdana menteri dan isteri memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas kes disebut hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noraini Abdul Rahman.
Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam Ng Siaw Sun yang mewakili Mohd Rafizi dan peguam Joanne Leong mewakili pemilik portal 'Media Rakyat' Chan Chee Kong.
Choo berkata permohonan itu akan difailkan sebelum 21 Ogos ini dan mahkamah menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes saman berkenaan.
Pada 16 April lepas, Najib dan Rosmah selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Mohd Rafizi sebagai defendan pertama manakala Chan, defendan kedua.
Dalam pernyataan tuntutan itu, mereka mendakwa Mohd Rafizi telah memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak pada 22 Nov 2014.
Najib dan Rosmah mendakwa ucapan Mohd Rafizi telah dirakam oleh 'Media Rakyat' yang kemudiannya dimuat naik oleh Chan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk 'Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak'.
Mereka juga mendakwa bahawa rakaman yang sama turut dikongsi oleh Chan dalam laman facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet seluruh dunia.
Menurut mereka lagi Chan telah gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.
Najib dan Rosmah turut menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan yang akan ditafsir oleh mahkamah.
Mereka juga menuntut satu arahan injunksi untuk menghalang Mohd Rafizi, Chan dan pembantu mereka daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah itu selain menuntut satu perintah supaya kedua-dua mereka menerbitkan permohonan maaf secara bertulis dalam surat khabar dan majalah.
#Choo Shi Jin #fitnah #Najib Razak #Rafizi Ramli #Rosmah Mansor #saman
;