Najib Razak terima Anugerah Kepimpinan Global 2017

Astro Awani
November 8, 2017 11:12 MYT
Penghargaan kepada PM Najib itu atas usaha menggerakkan industri digital Malaysia dengan pelbagai inisiatif serta kerjasama di peringkat global. - Astro AWANI/Shahir Omar
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Global sempena Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW2017) anjuran Dewan Sosial Media Malaysia.
Anugerah tersebut disampaikan Pengasas dan Presiden Dewan Sosial Media Malaysia, Shahul Dawood Hameed sebagai penghargaan kepada beliau yang menggerakkan industri digital Malaysia dengan pelbagai inisiatif serta kerjasama di peringkat global.
Selain itu, Shahul dalam ucapannya turut menyifatkan penglibatan aktif Perdana Menteri dalam media sosial menjadikan beliau sebagai role model penting kepimpinan masa kini.
Setakat ini Najib Razak mempunyai 337,000 pengikut di Instagram, 3.3 juta pengikut di Facebook dan 3.8juta pengikut di Twitter.
Beliau mula menggunakan Twitter sejak September 2007 ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi menyampaikan maklumat serta kenyataan media.
Bagi platform Instagram, beliau mula aktif sejak Mac 2013 sebagai tempat berkongsi aktiviti di sebalik tabir.
Pada majlis sama, Najib turut menyampaikan Anugerah Ikon Media Sosial 2017 kepada Zizan Razak.
Sebelum itu, dalam ucapannya Datuk Seri Najib memberitahu, kerajaan kini memfokuskan usaha untuk membangunkan ekonomi digital terhadap komuniti belia, industri kecil dan sederhana (IKS), usahawan digital dan juga kumpulan B40.
“Kita dah peruntukkan RM1 bilion bagi menggalakkan aktiviti dan pembangunan melalui inisiatif ekonomi digital,” katanya lagi.
#Anugerah kepimpinan Global #Dewan Sosial Media Malaysia #MSMW2017 #Najib menang anugerah #Najib Razak #Zizan Razak