Najib rasmi Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur

Anthea Yap
Februari 27, 2016 22:11 MYT
Najib merasmikan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur. -foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Pusat Transit Gelandangan bernilai RM3 juta di Jalan Pahang di sini pada Sabtu.
Pusat penginapan setinggi tiga tingkat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas, antaranya ruang penginapan yang dapat memuatkan sejumlah 250 orang.
Pembinaan Pusat Transit berkeluasan 1,319 persegi itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB).
Projek Pusat Transit Gelandangan itu dilaksanakan susulan lawatan mengejut Najib pada Julai 2014 bagi meninjau keadaan golongan itu di sini.
Najib yang tiba jam 11.30 pagi mengambil peluang beramah mesra dengan penghuni serta melawat kemudahan yang disediakan.
Bangunan itu mempunyai kemudahan asas seperti ruang penginapan, bilik mandi, bilik kaunseling, kesihatan dan simpanan barangan.
Pada majlis itu, perdana menteri turut menandatangani plak sebagai simbolik perasmian sebelum diberi taklimat mengenai operasi pusat berkenaan.
Sementara itu, menurut Pengurus Projek Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Nordina Haron, selepas Pusat Transit Gelandangan dibuka dua minggu, jumlah gelandangan yang datang meningkat dua kali ganda berbanding minggu pertama.
"Fasa pertama dia mesti ubah persepsi dari tidur di kaki lima dan tidur di tempat yang sempurna transit sahaja, bukan untuk jangka masa yang panjang.
"Tapi tempoh yang dibincangkan dengan Jawatankuasa Tadbir Urus tempoh yang paling lama kita akan bagi adalah sebulan sebab di Pusat Transit ini kita ada jaringan bersama dengan Anjung Singgah, ada bersama JKM, ada juga bersama Baitulmal dan mereka yang memerlukan bantuan kita akan salurkan kepada agensi yang sepatutnya," katanya di sini.
Ketika ditemui, penghuni yang menetap di pusat itu selama seminggu menyifatkan fasiliti yang disediakan selesa.
"Disebabkan perniagaan saya jatuh, isteri pun meninggal, dan rasa sakit hati bapa saya kerana masalah wang, setiap hari gaduh dan bising, jadi kawan saya bawa saya ke sini.
"Selesa duduk sementara dan dapat makanan," katanya.
Seorang lagi gelandangan yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, dia yang tidur di kaki lima selama 10 tahun berharap pusat ini dapat membantu dirinya mencari pekerjaan.
"Saya pun mak ayah tak ada, jadi anak yatim piatu. Saudara adik pun tak ada, jadi saya bawa diri ke Kuala Lumpur 16 tahun, dan dah masuk 6 tahun saya tak bekerja, memang menumpang makan nasi pemberian daripada pihak tertentu sahaja," katanya.
Setakat ini, pusat itu menempatkan 141 gelandangan iaitu 111 lelaki dan 20 wanita yang berdaftar hingga Jumaat.
#DBKL #MRCB #Najib Razak #Pusat Transit Gelandangan #ruang penginapan
;