Najib rasmi pusat pengeluaran al-Quran kedua terbesar dunia
Harits Asyraf Hasnan
Julai 10, 2015 00:32 MYT
Julai 10, 2015 00:32 MYT
Kompleks Nasyrul Quran bakal menjadi pusat pengeluaran al-Quran kedua terbesar di dunia apabila ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2016.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kompleks itu dilihat sebagai usaha kerajaan dalam meningkatkan syiar Islam di negara ini.
"Bagi tujuan ini, kerajaan telah bersetuju untuk memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta.
"Kita harap agar Kompleks Nasyrul Quran ini dapat mencetak sejuta naskah al-Quran sehingga tiga juta naskah setahun untuk diedarkan ke seluruh dunia. Ini menunjukkan bahawa kerajaan turut memberi penekanan dalam meningkatkan kefahaman al-Quran.
"Bagaimana untuk kita memanfaatkan pusat ini, bukan sekadar ianya pusat untuk mencetak semata-mata, namun ia juga seharusnya berperanan melatih dan mendidik masyarakat Islam membaca dan memahami al-Quran dengan lebih mendalam, maka inilah yang seharusnya difikirkan oleh pengurusan kompleks ini kelak," ujar Najib ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Tapak Kompleks Nasyrul Quran dan Pelancaran Tabung Dana Wakaf Kertas di Presint 14 di sini hari ini.
Pada majlis sama, Najib turut mengagihkan peruntukan RM25 juta kepada 116 sekolah pondok berdaftar di seluruh negara.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga menjadi penyumbang dana sebanyak RM30 juta bagi projek ini terutama untuk pembelian mesin cetak yang sesuai dan terbaik pada ketika ini.
Selain MAIWP, Perbadanan Putrajaya turut mewakafkan sebidang tanah seluas 5.2 ekar bagi pembangunan projek tersebut.
Pusat percetakan Mushaf bersepadu utama di rantau Asia Tenggara ini bukan sahaja sebagai pusat penyebaran al-Quran malah meliputi penyelidikan, percetakan, pentafsiran, penterjemahan dalam pelbagai bahasa, penerbitan dan seterusnya pengagihan al-Quran.
Malah, pusat ini juga akan menjadi tempat tumpuan penggiat dan penggemar seni khat dari dalam dan luar negara.
Perancangan pembangunan keseluruhan projek ini dijangka akan disiapkan dalam masa satu setengh tahun dan dibahagikan kepada dua fasa.
Fasa pertama meliputi kawasan kilang dan tempat mesin dan jentera percetakan yang akan disiapkan dalam masa 6 hingga 8 bulan dan pembangunan selainnya seperti galeri pameran, tempat latihan kemahiran, ruang tinjau tinjau percetakan, pejabat pentadbiran dan beberapa lagi fasiliti lain akan disipakan sebelum penghujung 2016.