Najib rai OKU dan anak yatim sempena Tahun Baru Cina
Bernama
Februari 9, 2013 21:22 MYT
Februari 9, 2013 21:22 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa meraikan warga tua, golongan orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim yang menghuni lima rumah kebajikan sekitar Selangor dalam satu jamuan teh sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Najib, yang hadir bersama anak bongsunya, Nor Ashman meluangkan masa hampir sejam pada majlis anjuran Barisan Nasional (BN) Selangor itu.
Lebih meriah, Perdana Menteri bersama lebih 500 tetamu turut menggaul yee-sang, sajian yang melambangkan kebaikan dan kemakmuran.
Rousiianna Karina Lim, 71, dari Rumah Sri Kenangan di Cheras menyifatkan pertemuan dengan Najib sebagai suatu hasrat yang tertunai.
"Ini pertama kali saya jumpa Datuk Seri Najib, dan saya amat gembira kerana saya memang ingin bertemu beliau," katanya yang duduk di sebelah Najib pada majlis itu.
Awang Abdullah, 71, seorang bekas askar, turut mengakui teruja bertemu pemimpin nombor satu negara itu dan sempat berterima kasih kepada Najib, yang memberi angpau kepadanya.
Perasaan sama turut dikongsi John Areng, 71, yang juga pertama kali bertemu Najib dan menyifatkannya satu pertemuan bermakna, terutama dengan kehadiran Tahun Baru Cina.