Najib puji usaha Muhyiddin majukan pendidikan negara

Haider Yutim
Julai 9, 2015 11:13 MYT
Najib (tengah) dan Muhyiddin (kiri) bersalaman dengan para tetamu pada majlis berbuka puasa semalam. - Astro AWANI/Shahir Omar
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memuji usaha Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memajukan bidang pendidikan di Malaysia.
Katanya, dalam usaha tersebut, Muhyiddin telah meneruskan beberapa inisiatif yang pernah diperkenalkannya semasa menjadi menteri pendidikan dahulu.
Najib berkata beliau bangga kerana wujud kesinambungan perjuangan dalam usaha memajukan bidang pendidikan negara antara beliau dan Timbalan Perdana Menteri itu.
Selain itu, katanya perancangan yang dibawa oleh Muhyiddin dalam bentuk pelan pembangunan pendidikan telah berjaya melonjak tahap kualiti guru masa kini.
"Kualiti guru pelatih hari ini jauh lebih baik dari dulu, antara sebabnya ialhj perkhidmatan yang kita sediakan dari segi taraf kemasukan dan peluang kenaikkan pangkat, menyebabkan permohonan untuk menjadi seorang guru hari ini bertambah sehingga saya difahamkan 60,000 setahun memohon untuk menjadi seorang guru," katanya pada majlis berbuka puasa bersama warga pendidik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi semalam.
Menurut Najib, untuk melahirkan pendidik yang berkualiti, seorang guru seharusnya memiliki semangat yang tinggi di dalam diri.
Katanya, tanggungjawab sebagai guru adalah amat berat kerana mereka merupakan pemangkin kepada kemajuan pada masa depan negara.
"Jadi yang ada hari ini, guru-guru muda sekarang ini bukan saja muda dari usia tetapi mempunyai taraf kualiti kelulusan minima 7A.
"Enam belas peratus dari segi kohort tertinggi terpilih menjadi guru, maknanya guru-guru hari ini bukan calang-calang orangnya," kata Najib.
Dalam pada itu, Najib turut menyerahkan sumbangan kewangan bernilai RM25 juta kepada 533 Sekolah Agama Rakyat seluruh negara.
Peruntukan itu bertujuan membantu meningkatkan kualiti pembelajaran serta tadbir urus sekolah berkenaan sekali gus memberi manfaat kepada lebih 90,000 pelajar.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.
#Muhyiddin Yassin #Najib Razak #pendidikan
;