Najib puas hati dengan operasi menyelamat mangsa gempa bumi Sabah

Bernama
Jun 9, 2015 21:12 MYT
NAJIB: Segala tuduhan yang dilemparkan terhadap agensi penyelamat, termasuk lambat bertindak, adalah tidak benar. - Foto Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak amat berpuas hati dengan operasi menyelamat mangsa gempa bumi di Sabah, khususnya di Gunung Kinabalu, yang dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak.
Perdana Menteri berkata segala tuduhan yang dilemparkan terhadap agensi penyelamat, termasuk lambat bertindak, adalah tidak benar.
"Saya hendak nyatakan bahawa setelah diberi penjelasan dan penerangan pagi tadi, saya atas nama kerajaan pusat amat berpuas hati dengan segala tindakan operasi yang telah dijalankan oleh semua pihak. Kalau ada yang cuba menuding jari kononnya kita lambat ataupun ada kelemahan, sebenarnya itu tidak benar," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kepada waris mangsa malim gunung yang terkorban dalam insiden gempa bumi berukuran 5.9 pada Skala Richter yang melanda Sabah Jumaat lalu.
Beliau berkata semua tindakan dan operasi yang mampu dan boleh dilakukan mengikut keadaan selepas kejadian gempa bumi dan berdasarkan keadaan cuaca pada ketika itu telah dilakukan pasukan penyelamat dengan baik.
Najib memendekkan kunjungan rasminya ke negara Arab Saudi serta membatalkan mesyuaratnya hari ini bagi membolehkannya meninjau keadaan di Sabah. - Foto Bernama
Perdana Menteri berkata semua mangsa gempa bumi di atas Gunung Kinabalu yang boleh diselamatkan, telah berjaya diselamatkan manakala yang ditakdirkan Ilahi terkorban dalam tragedi itu dan boleh dibawa turun, juga berjaya dibawa turun.
"Jadi di sini saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam kerja untuk menyelamatkan mangsa-mangsa gempa bumi tersebut. Antaranya, kita lihat bahawa agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat bekerjasama dengan amat erat sekali.
"Umpamanya bagi kerajaan negeri, Taman-Taman Sabah, kita lihat sudah tentu malim gunung yang menunjukkan keberanian yang luar biasa.
"Berkorban. Bila kita sebut berkorban apa sahaja, kumpulan malim gunung itulah antaranya," katanya yang mendapat tepukan gemuruh para hadirin.
Najib turut menjelaskan bahawa beliau telah memendekkan kunjungan rasminya ke negara Arab Saudi serta membatalkan mesyuaratnya hari ini dengan menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri bagi membolehkannya melawat mangsa dan kawasan yang terjejas akibat gempa bumi itu.
BACA: Najib tiba di Sabah tinjau kesan, lawat mangsa gempa bumi
VIDEO: Kerajaan akan bagi anugerah kepada malim gunung
Najib turut memuji kumpulan malim gunung yang telah banyak membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Gunung KInabalu. - Foto Bernama
Najib sempat meluangkan masa bertemu dengan keluarga mangsa yang terkorban dalam bencana gempa bumi. - Foto Bernama
PM umum peruntukan RM10 juta baik pulih Taman Kinabalu.
#gempa bumi #Gunung Kinabalu #Najib Tun Razak #pasukan penyelamat #Sabah
;