Najib pertimbang mohon pengampunan kedua - Peguam

Sinar Harian
Februari 12, 2025 16:10 MYT
Muhammad Shafee (tengah) ketika mengadakan sidang akhbar di Istana Kehakiman Putrajaya pada Rabu.
PUTRAJAYA: Barisan peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mempertimbangkan untuk mengemukan permohonan pengampunan kali kedua kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bagaimanapun permohonan itu tidak harus menjejaskan hak yang ada dalam Titah Adendum sebelum ini.
"Berkenaan dengan soalan sama ada pengampunan Diraja telah pun dikemukakan, saya jawab dengan tegas setakat ini belum.
"Namun, saya sedang berfikir kalau buat satu pengampunan baharu, ia tidak harus menjejaskan hak di bawah Adendum kita demi memberi keuntungan kepada Najib.
"Seperti saya kata, kita harus buat dua-dua sebab Adendum tersebut juga adalah satu titah YDPA. Kita harus hormat," ujarnya dalam satu sidang akhbar di sini pada Rabu.
Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai arahan Najib berhubung isu bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang berkaitan Titah Adendum.
Menurutnya, Najib telah memberi arahan agar satu tindakan penghinaan mahkamah diambil terhadap bekas Peguam Negara itu.
Tambah beliau, pihaknya akan memfailkan permohonan itu selewat-lewatnya Jumaat.
“Kita sudah dapat arahan daripada Najib supaya satu tindakan penghinaan mahkamah diambil terhadap bekas Peguam Negara itu. Dokumen berkaitan permohonan ini sudah siap cuma perlu masa untuk kami teliti sebelum fail sebelum Jumaat ini.
“Tindakan ini juga kita ambil berdasarkan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini bahawa Titah Adendum telah diterima Pejabat Peguam Negara ketika itu. Bekas AG kemudian serah titah tersebut kepada YDPA kini.
“Pada pendapat kita, tindakan itu salah kerana Titah Adendum itu sudah menjadi satu dekri oleh YDPA. Tindakan yang sepatutnya dilakukan adalah melaksanakan apa yang ada dalam Adendum itu dan bukan serah kepada YDPA kini kerana baginda tidak boleh bertindak sebagai pelaksana Adendum itu,” ujarnya.
Muhammad Shafee mendakwa, Ahmad Terrirudin juga tidak bersikap jujur, telus dan bertanggungjawab.
"Apabila prosiding kes berkaitan Titah Adendum di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh, perkara itu tidak disebut langsung sehingga Adendum menjadi ‘hear say’.
“Malah cabar kita untuk buktikan Titah Adendum itu benar-benar wujud dan bukannya sekadar dengar cakap sahaja,” jelasnya. - Sinar Harian
#Najib Razak #Pengampunan Diraja #terkini #Yang di-Pertuan Agong #Titah Adendum
;