Ringkasan AI
- Najib Razak mendakwa wang dalam akaun peribadinya adalah sumbangan daripada Raja Abdullah dan kerabat diraja Arab Saudi, yang dipercayai diarahkan oleh baginda.
- Beliau menegaskan dana itu digunakan untuk UMNO, termasuk persiapan pentadbiran parti dan program CSR seperti bantuan banjir dan pembangunan luar bandar.
- Mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas 25 pertuduhan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB.
Najib, yang juga bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata di sebuah negara monarki seperti Arab Saudi di mana raja memegang kuasa tertinggi, adalah munasabah untuk beliau mempercayai bahawa Raja Abdullah telah mengarahkan Kementerian Kewangan Riyadh untuk menyalurkan dana bagi pihak baginda sebagai sumbangan.
"Oleh itu, cadangan bahawa kesemua dana ini bukanlah datang secara langsung daripada akaun peribadi Raja Abdullah sebaliknya daripada Kementerian Kewangan Riyadh adalah mengarut kerana pada saya, ia mencerminkan niat dan kekuasaan Raja Abdullah sendiri.
"Selain menerima dana daripada Kementerian Kewangan di Riyadh, saya juga menerima RM311,122,245.94 daripada cucunda lelaki Raja Abdullah iaitu Putera Faisal dan seorang lagi kerabat diraja, Putera Saud bin Abdulaziz Al Saud. Justeru itu, adalah munasabah untuk saya mempercayai bahawa Raja Abdullah telah mengarahkan cucunda baginda untuk menyalurkan sumbangan terbabit melalui akaun baginda," katanya.
Ini adalah hari kesembilan bekas Ahli Parlimen Pekan itu memberi keterangan membela diri terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Ketika menjawab soalan peguamnya Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Najib berkata memandangkan wang itu berasal daripada akaun bersama kerabat diraja (Putera Faisal bin Turki bin Bandar Al Saud dan Putera Saud bin Abdulaziz Al Saud), adalah jelas bahawa beliau tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ia adalah daripada sumber yang tidak sah.
Wan Azwan Aiman: Raja Abdullah adalah pemerintah ketika itu. Boleh anda jelaskan bagaimana sistem pemerintahan beraja Arab Saudi berbeza, jika ada, daripada Malaysia?
Najib: Perbezaan asas dalam sistem pemerintahan di Arab Saudi ialah keseluruhan strukturnya adalah berkisar kepada raja, yang memegang kuasa mutlak. Sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan perlu mendapat perkenan baginda dan saya percaya tiada siapa yang berani menentang kehendak baginda kerana hukuman di Arab Saudi amat berat.
Bagi pertuduhan ke-11 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram terhadapnya, Najib berkata cek RM20 juta yang dikeluarkan kepada UMNO adalah bagi membantu persiapan pentadbiran parti itu dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Adalah penting ditegaskan bahawa dana ini bukan untuk Najib Razak secara peribadi sebaliknya bertujuan memastikan UMNO, sebagai parti politik terbesar di Malaysia, dapat beroperasi dengan berkesan dan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.
"Melalui dana yang diterima daripada akaun AmIslamik saya, UMNO akan dapat terus menjalankan pelbagai program CSR yang memberi impak, yang sememangnya mereka lakukan, termasuk menyalurkan bantuan semasa banjir teruk di Kelantan pada Disember 2013 serta pelaksanaan penambahbaikan infrastruktur di kawasan luar bandar," katanya.
Pada 30 Okt lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas kesemua 25 pertuduhan setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA