Najib perlu senaraikan aset 1MDB untuk dicairkan - Khairuddin

Astro Awani
November 3, 2018 06:59 MYT
KHAIRUDDIN: Najib seolah-olah cuba bercakap pandai dan cuba menutup kemungkaran yang dibuatnya sebelum ini. - Gambar fail
Datuk Seri Najib Razak diminta menyenaraikan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang boleh dicairkan untuk melupuskan beban hutang syarikat itu sendiri.
Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, bekas perdana menteri itu juga perlu memberi butiran terperinci aset-aset syarikat 1MDB, dengan nilaiannya sekali, untuk dipamerkan kepada pengetahuan keseluruhan rakyat.
"Saya nampak Najib sudah semakin hilang arah dan tindakannya kini seperti cuba menegakkan benang basah.
"Najib dahulu yang menyamun khazanah negara serta duit rakyat. Dahulu, Najib juga yang menyalah guna kuasa untuk menggunakan duit dari pelbagai agensi kerajaan untuk membayar kadar faedah hutang 1MDB.
"Kenapa pada waktu itu Najib tidak mahu melupuskan aset-aset 1MDB untuk melangsaikan semua kadar faedah serta hutang syarikat tersebut?" soalnya ketika ditemui di sini, pada Sabtu.
BACA: 'Kenapa tak guna aset 1MDB untuk bayar hutang?' - Najib
BACA: Kita kalah kerana 1MDB - KJ tempelak Najib
Khairuddin yang juga penyelaras Parlimen Jasin mengulas pertanyaan Najib selepas pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat mengenai tindakan kerajaan PH yang tidak menggunakan aset 1MDB untuk melupuskan hutang syarikat kontroversi itu.
Dalam pada itu, Khairuddin menegaskan, Najib seolah-olah cuba bercakap pandai dan cuba menutup kemungkaran yang dibuatnya sebelum ini.
"Sebab itu saya katakan bahawa pihak penguatkuasa undang-undang harus menangkap Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Aziz, Jho Low serta kuncu-kuncu mereka segera.
"Letakkan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana pengkhianatan mensabotaj ekonomi negara.
"Kesemua mereka harus ditangkap tanpa bicara seperti yang mereka buat pada saya dahulu. Kemudian mesti dipaksa untuk memulangkan semua hasil yang mereka masih simpan di luar negara.
"Sekarang Najib perlu diam sahaja dan hanya bercakap dalam kamar mahkamah apabila dia didakwa nanti," katanya.
Jelasnya, paling penting sekarang, Najib tidak perlu berkata apa-apa kerana setiap kenyataannya membuatkan rakyat negara ini sudah terlalu mual untuk membacanya.
#1MDB #Jho Low #Khairuddin Abu Hassan #Najib Razak #Pakatan Harapan #Rosmah Mansor
;