Najib perlu pertimbang jawatan Abdul Azeez di Tabung Haji - UMNO Cheras

Astro Awani
Mei 14, 2015 17:59 MYT
UMNO CHERAS: Najib perlu pertimbang jawatan Abdul Azeez di Tabung Haji - Gambar fail
Setiausaha UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah menuntut Datuk Seri Najib Tun Razak mengotakan janjinya menepati slogan 'Pencapaian diutamakan dan rakyat didahulukan' dengan menasihatkan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim supaya meletakkan jawatan.
"Perdana Menteri kena jujur dan telus, buktikan kepada rakyat bahawa anda (Najib) tidak bersekongkol dengan mana-mana pemimpin UMNO yang tidak bercakap benar," tegasnya.
Ini katanya, berikutan kenyataan awal Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah menafikan berhubung pembelian tanah oleh TH daripada 1MDB dengan nilai RM188.5 juta.
Menurutnya, walaupun yang membeli tanah 1MDB adalah anak syarikat TH, tetapi sebarang keputusan atau perkembangannya terlebih dahulu akan dimaklumkan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah TH.
"Apabila begitu mudah kata tidak tahu atau menafikannya, rakyat tidak akan percaya dan ini menjuruskan kepada satu pembohongan yang amat ketara.
"Jika terbukti pemimpin UMNO telah berbohong, bagaimana rakyat akan menyokong parti, inilah yang Najib harus fikir dan tunaikan slogan 'rakyat didahulukan'," katanya dalam catatan terbaharu di blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com.
BACA: Tabung Haji sahkan pembelian hartanah di Tun Razak Exchange
BACA: Pengerusi TH akui silap dalam buat penafian
BACA: Kenapa Tabung Haji beli tanah senyap-senyap? - Khairuddin
Katanya lagi, setelah tiga hari isu pembocoran maklumat tersebut tersebar luas menerusi media sosial, Pengerusi TH tampil menjelaskan kepada rakyat bahawa memang benar berlaku pembelian tersebut.
Abdul Azeez kemudiannya ujar beliau lagi, menjelaskan atas nasihat Perdana Menteri tanah tersebut akan dijual semula oleh TH.
Menurut Syed Mehdhar, adalah amat malang dan menyedihkan seorang pengerusi dengan begitu mudah menafikan berhubung pembelian tersebut yang membabitkan wang tunai ratusan juta ringgit.
"Berdasarkan kenyataan tersebut, jelas menunjukkan Abdul Azeez telah berbohong dan seseorang yang berbohong tidak sepatutnya diberikan kepercayaan mengetuai satu institusi yang memegang wang amanah rakyat khususnya umat Islam," tegas beliau.
Katanya lagi, Abdul Azeez juga dilihat seperti cuba memperbodohkan rakyat
"Abdul Azeez dilihat seperti cuba memperbodohkan rakyat terutama orang Islam yang mencarum di TH semata-mata untuk menunaikan fardhu haji," tegasnya sambil berkata musibah seperti ini tidak sepatutnya berlaku di sebuah institusi berkaitan agama Islam.
"Najib selalu bercakap soal ketelusan, intergriti dan mendahulukan kepentingan rakyat, sekarang saya tuntut Perdana Menteri kotakan janji tersebut dengan menasihatkan Abdul Azezz supaya segera meletakkan jawatan sebagai Pengerusi TH.
"Selaku pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan atas keprihatinan terhadap kekecewaan ahli-ahli parti, Najib kena buktikan bahawa beliau masih mempunyai intergriti dan kewibawaan sebagai seorang Perdana Menteri," katanya.
Syed Mehdhar menjelaskan, sebelum ini beliau pernah mempertikaikan kewajaran Najib melantik Abdul Azeez sebagai Pengerusi TH kerana tidak mempunyai kredibiliti untuk dilantik ke jawatan tersebut.
"Sebaliknya saya telah mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya melantik Pengerusi TH di kalangan bekas-bekas menteri kanan atau pegawai-pegawai kanan kerajaan," ujarnya.
BACA: Wang ini bukan milik Tabung Haji, kenapa guna untuk selamatkan 1MDB? - Tun M
BACA: TH putuskan jual tanah TRX - Pengerusi TH
BACA: Tabung Haji: Mufti Perlis desak mereka yang terlibat dibawa ke mahkamah
Hari ini kata Syed Mehdhar, terbukti bahawa Abdul Azeez jelas tidak berkelayakan, tidak mempunyai kredibiliti dan sepatutnya dilucutkan segera jawatan tersebut.
Menurutnya lagi, adalah amat malang bagi seorang Perdana Menteri apabila dikelilingi oleh mereka yang tidak mempunyai kredibiliti dan berbohong kepada rakyat.
"Saya amat terkilan dan musykil dalam perkara ini dan Najib dituntut supaya bersikap telus dan jujur menangani isu yang membabitkan kredibiliti Pengerusi TH yang sudah tercemar akibat pembohongan yang beliau lakukan," ujarnya.
Jelasnya, setakat hari ini pemimpin dan ahli-ahli UMNO masih lagi menyokong dan menghormati kepimpinan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Tetapi katanya, jangan sampai satu hari nanti ahli-ahli parti akhirnya meragui ketelusan dan keilkhlasan Perdana Menteri jika kedudukan Abdul Azeez masih dikekalkan sebagai Pengerusi TH.
Tambah Syed Mehdhar lagi, apabila perkara ini dibangkitkan oleh pemimpin UMNO bukan bermakna senada dengan isu yang dimainkan oleh parti pembangkang.
Jelasnya, isu TH yang berlaku hari ini bukan isu politik UMNO mahupun parti pembangkang tetapi membabitkan kepentingan rakyat dan umat Islam.
"Saya hendak beritahu, pemimpin UMNO tidak semuanya boleh dicucuk hidung, mana yang tak betul, kita akan tentang.
"Dalam kes TH ini, sudah jelas pengerusinya tidak bercakap benar, maka kita tuntut Najib supaya kotakan janjinya.
"Sebagai Perdana Menteri, anda (Najib) kena tahu dan dengar suara rakyat, ini soal intergiriti dan kredibiliti TH, mengapa masih lagi 'simpan' Pengerusi TH yang cakap bohong?" tegasnya.
Syed Mehdhar turut mengingatkan, rakyat terutama orang Melayu sedang memerhati sejauh mana kesungguhan kerajaan pimpinan Najib menangani isu TH.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Mehdhar juga mempersoalkan mengapa orang yang sama, iaitu Ahli Lembaga Pengarah TH turut diberikan tempat dalam 1MDB.
"Apakah sudah tidak ada lagi orang lain yang layak ? Ini memberikan gambaran seperti wujud kepentingan peribadi individu tertentu antara TH dan 1MDB, inilah yang rakyat persoalkan," jelasnya.
#abdul azeez #najib #Tabung Haji #UMNO Cheras
;