'Najib perlu heret Jho Low ke mahkamah jika mahu bersih nama'

Astro Awani
November 17, 2020 20:50 MYT
Faiz berkata, setakat ini, dianggarkan lebih RM14 bilion hutang 1MDB dibayar melalui dana negara. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak perlu mengheret Jho Low ke mahkamah jika ikhlas mahu membersihkan namanya daripada tuduhan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Anggota Jawatankuasa Amanah Nasional, Faiz Fadzil.
Faiz berkata pendedahan terbaharu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho menerusi dokumentari khas Al-Jazeera berjudul 'Jho Low: Hunt For A Fugitive' adalah satu tuduhan berat.
Katanya, dalam dokumentari tersebut, Jho Low mendakwa Najib yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia berkuasa ke atas kelulusan semua transaksi 1MDB adalah bukti terbaru berkaitan penyelewengan wang skandal melibatkan dana hampir RM20 bilion.
"Jho Low juga mendakwa bahawa hampir RM4 bilion (AS$1bilion) telah dimasukkan ke akaun peribadi Najib yang merupakan satu tuduhan berat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Jho Low menuduh pentadbiran Najib tidak mahu mendedahkan dokumen ketika dia berunding bagi penyelesaian tuntutan mahkamah 1MDB dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat seolah-olah misteri kehilangan Jho Low ini mungkin dilindungi oleh seseorang yang berkuasa.
BACA: Jho Low percaya tidak lakukan kesalahan, dakwa hanya pinjam wang 1MDB
BACA: Kenyataan Jho Low: Jangan terima 'bulat-bulat' - Peguam Najib
BACA: Perlu adil! Jho Low kena balik dan hadapi perbicaraan - Akhbar Satar
"Pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus menyiasat pendedahan ini supaya skandal kleptokrasi terbesar dunia ini disiasat sehingga ke akar umbi memandangkan ia melibatkan integriti dan maruah negara.
"Dakwaan Jho Low bahawa hampir RM2 bilion (AS$500 juta) dibelanjakan untuk membeli barang kemas (Datin Seri) Rosmah Mansor juga amat mengejutkan.
"Pendedahan ini jika benar adalah satu pengkhianatan kepada rakyat dan negara kerana hutang 1MDB perlu dibayar oleh negara," katanya lagi.
Faiz berkata, setakat ini, dianggarkan lebih RM14 bilion hutang 1MDB dibayar melalui dana negara.
"Sudahlah kantung negara semakin tenat, rakyat kian menderita akibat tiada pembelaan kerajaan yang tuntas," katanya.
#Jho Low #Low Taek Jho #AL-Jazeera #Hunt For A Fugitive #Najib Razak #1MDB #1 Malaysia Development Berhad #bekas perdana menteri #Jabatan Kehakiman #DOJ Amerika Syarikat #Rosmah Mansor
;