Najib: Perhimpunan Agung Khas UMNO untuk pinda perlembagaan parti
Harris Hardy Hakim
Disember 7, 2013 19:58 MYT
Disember 7, 2013 19:58 MYT
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan satu perhimpunan agung khas akan diadakan bertujuan untuk meminda perlembagaan parti itu.
Najib berkata pindaan itu dibuat bagi membolehkan takrifan Ahli Sunnah Wal Jama'ah dimasukan ke dalam perlembagaan parti.
Namun, Najib menjelaskan tarikh perhimpunan agung khas itu akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada satu tarikh yang akan diumumkan.
"Kita masuk dalam perlembagaan UMNO. Soal perlembagaan negara ini dia (pindaan) ada proses lagi yang terpaksa dilalui.
"Ia perlu melalui perbincangan, Timbalan Perdana Menteri sudah jelaskan dalam ucapannya, kita perlukan majoriti 2/3 dan sokongan Majlis Raja-Raja untuk pinda perlembagaan persekutuan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2013, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada kepimpinan akar umbi parti, Najib berkata majlis tertinggi akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan mekanisma pemantauan yang akan dibuat.
"Kita akan bincang dalam mesyuarat majlis tertinggi akan datang, kita dah ada asasnya seperti yang saya terangkan termaktub dalam perlembagaan sebenarnya, cuma penguatkuasaan yang kita tak lakukan.
"Jadi bila kita jadikan sebahagian daripada KPI dan ada perkara-perkara lain kita masukkan maka akan dilakukan pemantauan yang lebih rapi dan juga intervensi tertentu yang perlu kita lakukan sebelum terlambat," katanya.
Sementara itu, Najib juga menegaskan UMNO akan meneruskan Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera kerana ia penting demi menjamin keadilan sosial majoriti rakyat Malaysia.