Najib: Pemilihan UMNO guna perlembagaan baharu

Irwan Muhammad Zain
Mei 31, 2013 22:10 MYT
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pemilihan pucuk pimpinan parti itu akan tetap diadakan pada tahun ini dengan menggunakan perlembagaan baharu parti yang memberi peluang kepada hampir 500,00 ahli di peringkat akar umbi untuk membuat keputusan.
Katanya pemilihan tersebut akan diadakan selepas mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian selesai diadakan dan sebelum sebelum perhimpunan agung parti.
Katanya pemilihan mengikut perlembagaan baru ini lebih mencabar dan kompleks dimana 150,00 ahli UMNO tidak termasuk dari tiga sayap parti akan membuat pemilihan untuk jawatan presiden hingga ahli majlis tertinggi parti.
"Pemilihan parti akan diadakan pada tahun ini dan akan menggunakan perlembagaan parti yang baharu dimana ia lebih mencabar dan kompleks sejajar dengan pembaharuan dan reform yang telah kita mulakan tiga tahun dulu.
"Dari segi pemilihan Majlis Tertinggi, hampir 150,000 orang akan terlibat dalam menentukan pucuk pimpinan parti daripada presiden sampai kepada Majlis Tertinggi. Ini tidak termasuk 100,000 orang daripada setiap sayap Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.
Najib juga menjelaskan proses pemilihan menggunakan kaedah baharu itu akan dijalankan secara serentak di 191 bahagian di seluruh negara setelah tarikh ditetapkan dan kaedah untuk melaksanakan pemilihan akan diperincikan.
Beliau berkata mesyuarat UMNO cawangan akan bermula selepas proses penerangan di peringkat negeri selesai dilakukan oleh pasukan khas yang diketuai bekas menteri besar Perak, Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Mohamed Ghazali dan dibantu oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Pasukan khas itu ditubuhkan untuk menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan kaedah baru pemilihan akan turun padang bagi memastikan proses pemilihan yang akan diadakan berjalan lancar.
"Tarikh paling awal yang dapat kita adakan mesyuarat cawangan ialah 15 Julai. Jadi kita tetapkan 15 Julai hingga 31 Ogos untuk mesyuarat cawangan diikuti mesyuarat perwakilan bahagian dan perhimpunan agung.
"Kedua-dua tarikh itu akan diumumkan selepas kita dapatkan maklum balas dari pasukan yang turun padang. Dan kita akan tengok dari segi kefahaman dan keperluan logistik untuk kendalikan pemilihan yang melibatkan jumlah begitu besar yang belum pernah kita lakukan sebelum ini," kata Najib.
Sementara itu, Najib turut memaklumkan Lembaga Disiplin Umno menerima 99 aduan mensabotaj parti sepanjang PRU13 dan keputusan kes itu akan ditentukan Lembaga Disiplin.
Seramai 192 anggota Umno yang bertanding secara bebas dan menyertai pembangkang pada PRU-13 dipecat berdasarkan keputusan dasar parti.
Tindakan itu selaras dengan Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO yang menyatakan mana-mana anggota yang bertanding sebagai calon bebas akan dipecat daripada parti dan tidak akan diterima keanggotaannya selama-lamanya.
Antara yang dipecat ialah Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Seri Mohd Shariff Omar (bertanding calon Bebas di Parlimen Tasek Galugor dan DUN Sungai Dua) dan Ketua Pemuda Bahagian Sepang Datuk Suhaimi Mohd Ghazali.
Dalam pada itu Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN akan memfailkan lebih 50 petisyen mengenai keputusan pilihan raya umum ke-13 di Mahkamah Tinggi di negeri yang terbabit, tidak lama lagi.
Katanya peguam UMNO sedang meneliti perkara itu termasuk keputusan di 37 kawasan di mana pencalonan pembangkang diragui kerana dipercayai tidak mengikut peraturan pilihan raya.
#najib #Pemilihan UMNO #perlembagaan baharu
;