Najib nafi tamatkan perkhidmatan Abdul Gani kerana siasatan 1MDB
Bernama
Januari 21, 2025 19:40 MYT
Januari 21, 2025 19:40 MYT
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara pada 2015 tiada kaitan dengan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ringkasan AI
- Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara pada 2015 ada kaitan dengan siasatan 1MDB, sebaliknya disebabkan masalah kesihatan.
- Najib menafikan dakwaan bahawa beliau hilang kepercayaan terhadap Abdul Gani dan menyatakan beliau ingin mengesyorkan Abdul Gani sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
- Najib turut menafikan mengeluarkan arahan untuk menukar pucuk pimpinan dalam SPRM dan menegaskan bahawa siasatan terhadap 1MDB masih diteruskan walaupun pasukan petugas khas dianggap menyalahi undang-undang.
Najib, yang sedang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama berkaitan tuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB berkata sebaliknya penamatan perkhidmatan itu adalah disebabkan beberapa masalah antaranya masalah kesihatan yang dihadapi Abdul Gani.
Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Najib menafikan dakwaan khidmat Abdul Gani tidak lagi diperlukan kerana bekas perdana menteri itu telah hilang kepercayaan terhadapnya.
Jelas Najib, beliau pada asalnya ingin mengesyorkan supaya Abdul Gani dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan tetapi bekas peguam negara itu tidak melepasi proses yang diperuntukkan.
"Kalau saya tidak percayakan beliau, saya tidak cadang untuk angkat nama beliau sebagai hakim," kata Najib.
Kamal Baharin kemudian bertanya kepada Najib sekiranya beliau tahu mengenai draf pertuduhan ke atasnya yang hangat diperkatakan pada 2015 dan mencadangkan hal itu antara punca penamatan perkhidmatan Abdul Gani.
Najib tidak bersetuju dengan cadangan itu dan berkata beliau tidak ingat secara spesifik tetapi hanya mendengar khabar angin mengenai draf pertuduhan tersebut.
Sementara itu, Najib turut menafikan beliau mengeluarkan arahan untuk menukar pucuk pimpinan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antaranya pertukaran Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada tahun yang sama kerana suruhanjaya itu turut menyiasat 1MDB.
Kamal Baharin: Saya katakan kepada Datuk Seri, siasatan ke atas 1MDB adalah sebab mengapa mereka berdua ditamatkan perkhidmatan dan ditukarkan.
Najib: Saya tidak bersetuju.
Kamal Baharin: Tan Sri Abdul Gani dan Tan Sri Abu Kassim dikeluarkan ketika ada sekatan terhadap peranan Pasukan Petugas Khas 1MDB?
Najib: Saya tidak bersetuju, siasatan masih diteruskan walaupun pasukan petugas menyalahi undang-undang.
Bekas perdana menteri itu menegaskan bahawa penubuhan pasukan tersebut secara dasarnya tidak sah kerana ia menyalahi undang-undang selain tidak berada di bawah bidang kuasa Peguam Negara.
"Jika Peguam Negara menubuhkan pasukan petugas khas hari ini, ia tetap menyalahi undang-undang. Tiada undang-undang mahupun peruntukan mengenainya," katanya.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA