Najib nafi beri dana permulaan RM500 juta kepada TIA

Irwan Muhammad Zain
Mei 28, 2015 16:58 MYT
NAJIB: Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Sepang bahawa TIA diberi dana permulaan sebanyak RM500 juta adalah tidak benar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan kononnya kerajaan memberikan dana sebanyak RM500 juta kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya ditukar nama kepada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pengurusan 1MDB kepada Kementerian Kewangan, kenyataan yang dibuat oleh Sepang (Hanipa) bahawa TIA diberi dana permulaan sebanyak RM500 juta adalah tidak benar.
“Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih TIA daripada kerajaan negeri Terengganu pada 25 September 2009 dengan harga sebanyak RM1,000,002.00 dan TIA seterusnya ditukar nama kepada 1MDB,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan yang diberikan ahli Parlimen Sepang (PAS), Hanipa Maidin.
Hanipa dalam soalannya, meminta Najib menyatakan adakah TIA yang ditubuhkan pada tahun 2008 sebelum ditukar kepada 1MDB telah diberi dana permulaan sebanyak RM500 juta dan jika benar, apakah terjadi kepada dana atau modal tersebut.
#1MDB #Lembaga Pelaburan Terengganu #Najib Tun Razak #TIA
;