Najib mungkin dirujuk ke IJN kerana tekanan darah tidak menentu - Peguam

Astro Awani
September 13, 2022 11:52 MYT
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kiri) berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini ekoran tekanan darah bekas Perdana Menteri itu tidak menentu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, kata peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Menurut Muhammad Shafee, tekanan darah bekas Perdana Menteri itu dilaporkan tidak menentu selain puncanya masih belum diketahui.
Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam.
“Najib akan menjalani beberapa ujian kesihatan dan keputusan pemeriksaan itu akan diketahui beberapa hari lagi,” katanya
Muhammad Shafee berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini yang sepatutnya mendengar perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.
Muhammad Shafee berkata, beberapa ujian kesihatan itu akan menentukan punca keadaan anak guamnya dan mungkin dirujuk ke IJN.
Namun begitu, Muhammad Shafee tidak boleh mendapat arahan lanjut daripada Ahli Parlimen Pekan itu memandangkan peguam tidak dibenarkan melawat beliau di wad HKL.
Sehubungan itu, peguam itu memohon supaya perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib hari ini ditangguhkan.
Perkara itu tidak mendapat bantahan daripada pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan prosiding kepada petang esok untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenai keadaan Najib.
Pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah Najib akan dirujuk ke Hospital Kajang kerana mengalami masalah kesihatan.
Sri Ram berkata, Najib akan dirujuk ke hospital tersebut ekoran ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.
#1MDB #Najib Razak #Najib dipenjara #Muhammad Shafee Abdullah
;