Najib mungkin bermalam di Sungai Buloh?
Sinar Harian
September 19, 2018 23:49 MYT
September 19, 2018 23:49 MYT
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin akan ditahan di penjara Sungai Buloh sekiranya proses ikat jamin atas beberapa pertuduhan yang akan dikemukakan esok tidak sempat diselesaikan.
Peguam Adzly Abdul Manas berkata kemungkinan itu boleh berlaku kerana Pejabat Pendakwa Raya memutuskan untuk memulakan pendakwaan pada jam 3.00 petang.
Menurut Adzly kaunter ikat jamin biasanya akan ditutup pada jam 4.30 petang sedangkan penjamin beliau memerlukan masa untuk berurusan dengan bank bagi tujuan membuka akaun dan mengira wang tunai lebih-lebih lagi membabitkan jumlah yang besar.
“Pada kebiasaannya, semua kes pendakwaan berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat pada sebelah pagi sebaliknya SPRM melalui kenyataan rasminya menyatakan dakwaan pada sebelah petang.
Sekiranya Najib gagal menyediakan wang jaminan disebabkan kesuntukan masa besar kemungkinan beliau akan ditahan di penjara Sungai Buluh, sementara proses ikat jamin selesai,” katanya.
Pada masa yang sama beliau turut mempertikai penahanan Najib pada sebelah petang hari ini hanya untuk mengambil keterangan dan menyifatkannya sebagai sangat tidak wajar.
“Najib telah memberikan kerjasama penuh dalam kes sebelum ini, jadi pada saya sangat tidak wajar beliau ditahan satu hari atas alasan untuk merakam percakapan.
“Mungkin ini adalah prosedur baharu yang diperkenalkan oleh pihak SPRM,” katanya lagi.
Sementara itu SPRM melalui satu kenyataan bekas pemimpin itu akan didakwa atas beberapa pertuduhan esok namun sebelum itu akan di bawa ke Bukit Aman untuk dirakam percakapan.