Najib mulai lawatan kerja tiga hari di Sarawak

Harits Asyraf Hasnan
Mac 11, 2016 14:47 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijamu dengan Laksa Sarawak Udang Galah istimewa pada majlis tinjauan mesra (walkabout) dan beramah mesra dengan orang ramai di sekitar kawasan kompleks Kubah Ria malam ini. - Gambar Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa lebih satu jam mengunjungi Kompleks Kubah Ria di sini.
Pada majlis tinjauan mesra (walkabout) tersebut Najib yang turut ditemani Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem beramah-mesra dengan peniaga dan pengunjung medan selera tersebut.
Selain itu, beliau dan beberapa pemimpin masyarakat turut menikmati juadah terkemuka Bumi Kenyalang iaitu Mee Kolok.
Hadir sama pada majlis itu adalah Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr Alfred Jabu Anak Numpang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg.
Selain program turun padang, dalam lawatan kerja tiga hari Najib kali ini, beliau dijadual merasmikan beberapa majlis di Kuching serta merasmikan Majlis Permulaan Kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pada Ahad nanti.
Najib sebelum itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 8 malam tadi.
Pada Sabtu, Najib dijadual merasmikan Majlis Pelancaran Program Minda@Komuniti 2016 di Tebingan Kuching dan Ekspo Rumah PR1MA 2016 di Bangunan Lama, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya.
#Adenan Satem #Fadillah Yusof #Kompleks Kubah Ria #Kuching #Najib Razak