Najib mohon maaf
Rahimah Abdullah
Februari 26, 2019 18:48 MYT
Februari 26, 2019 18:48 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf susulan kenyataannya yang dikatakan mempersenda mereka yang bekerja pada waktu malam atau yang menggunakan lebuhraya tol selepas jam 11 malam.
Jelas bekas perdana menteri itu, beliau tidak berniat berbuat demikian.
"Jika anda tonton klip video ini dari sesi sembang santai saya malam semalam, saya hanya mengulangi apa yang diteriak oleh penonton yang berada di ceramah itu sebagai jawapan kepada soalan saya.
Saya akui, saya telah terikut-ikut dengan jawapan dan respon diberikan penonton semalam.
Saya dengan rendah hati mohon maaf jika ada yang berasa tersinggung," katanya di laman Facebooknya.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) media seharusnya tidak menggunakan sepatah dua kata dari sembang santai beliau pada Isnin sebagai cubaan untuk memesongkan fakta sebenar.
"Apapun, perkara pokok yang saya utarakan mengenai isu ini di ceramah berkenaan adalah jelas. Apa yang saya utarakan adalah mengenai janji bertulis dalam hitam-putih serta diulang-ulang PH untuk menghapuskan tol patutlah bermaksud tol akan dihapuskan dan bukan sekadar pada masa tengah malam sahaja. Ataupun bukanlah dengan alasan baru PH seperti menjenamakan semula 'caj tol' itu kepada nama lain seperti 'caj kesesakan'," ujarnya.