Najib minta penyata bank dan dokumen lain dikemukakan dalam perbicaraan kes 1MDB
Bernama
Mac 24, 2021 18:33 MYT
Mac 24, 2021 18:33 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menuntut pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata perbankan dan dokumen lain yang berkaitan kepada pasukan pembelaannya dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan dana RM2.3 bilion.
Dalam notis usul yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini oleh pasukan pembelaannya yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Najib antara lain mendakwa dokumen itu berada di tangan pihak pendakwaan, atau entiti lain.
Dalam adavit yang disahkan oleh Najib, 67, bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata dokumen itu penting dan mempunyai kaitan kepada perbicaraan 1MDB kerana ia tidak ditampilkan kepada pasukan pembelaan sebelum kes bermula.
Menurut adavit itu, Najib mendakwa beberapa penyata dan dokumen itu mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, yang dipercayai turut membabitkan ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
“Zeti disenaraikan sebagai saksi dalam perbicaraan 1MDB, oleh itu dokumen bank berkenaan amat relevan kepada pembelaan saya, dan pemeriksaan balas Zeti serta lain-lain saksi pendakwaan, yang merujuk kepada kredibiliti dan kebebasannya, memandangkan dia adalah bekas Gabenor Bank Negara yang relevan terhadap tempoh waktu yang berkaitan dengan pendakwaan saya,” katanya.
Najib menambah sekatan terhadap dokumen bank itu mempunyai kesan yang membawa kepada keadaan tidak menampilkan kebenaran, dan menyalahi kebebasan asasi sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan; serta hak beliau untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama di sisi undangundang, sebagaimana yang ditetapkan di bawah Artikel 5 dan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut notis usul itu, antara dokumen yang dipohon daripada pihak pendakwaan adalah penyata akaun bagi Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd.
Selain penyata bank, Najib juga memohon sijil ‘incumbency’, deklarasi identiti pemilik benesial syarikat, daftar anggota, daftar pengarah serta surat-menyurat antara bank dan syarikat itu mengenai urus niaganya, termasuk e-mel, pemindahan telegraf, borang pengiriman wang, nasihat pembayaran, laporan transaksi, pesanan pembayaran, nasihat kredit dan memo bank.
Permohonan itu menuntut pendedahan dokumen-dokumen dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan BNM, atau mana-mana entiti lain yang memiliki dokumen berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib semasa dihubungi mengesahkan bahawa pihak pendakwaan telah menerima salinan permohonan berkenaan hari ini.
Terdahulu semasa sebutan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pasukannya telan menfailkan permohonan berkenaan pagi ini.
Hakim Sequerah menetapkan 26 Mac sebagai tarikh untuk sebutan bagi permohonan.
Bagi perbicaraan 1MDB, Hakim Sequerah memberitahu kedua-dua pihak bahawa mahkamah bercadang untuk meneruskan perbicaraan pada bulan April sekiranya rayuan Najib berhubung kes SRC International Sdn Bhd tidak berlangsung di Mahkamah Rayuan.
Beliau kemudiannya menetapkan 19 hingga 22 April untuk menyambung perbicaraan sekiranya pendengaran rayuan diberi ruang masa.
-- BERNAMA
#Najib Razak
#1MDB
#penyata bank
#1Malaysia Development Berhad
#Perintah Mahkamah
#pasukan pembelaan
#perbicaraan
#Mahkamah Tinggi
#notis usul