Najib minta penduduk Sarawak ambil langkah berjaga-jaga
Bernama
Ogos 24, 2015 23:46 MYT
Ogos 24, 2015 23:46 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta penduduk di Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak masalah kesihatan susulan kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan di negeri itu.
"Ambil langkah berjaga-jaga dan kurangkan aktiviti luar bagi elak daripada masalah kesihatan," katanya dalam catatan di laman Twitternya.
Sehingga 7 malam ini, tiga kawasan di Sarawak iaitu Sri Aman, Samarahan dan Kuching mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Sri Aman merekodkan bacaan IPU 124; Samarahan (121) dan Kuching (113).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).