Najib mengaku tidak bersalah terima RM42 juta hasil aktiviti haram
Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 8, 2018 10:26 MYT
Ogos 8, 2018 10:26 MYT
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berdepan tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram yang mana wang itu milik SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.
Najib, 65 tahun, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa telah menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (RENTAS) dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.
Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 4 Julai lepas, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Pendakwaan diketuai Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria, sementara pembelaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Mohd Hanafiah meminta ketiga-tiga pertuduhan dibicarakan bersama dengan empat pertuduhan lain di Mahkamah Tinggi 3 sebelum ini.
Muhammad Shafee berkata, empat pertuduhan terdahulu merupakan 'predicate offences' dan tiga hari ini 'subsidiary offences', dan Mahkamah Tinggi 3 telah menyatakan penyatuan tuduhan ini wajar.
Hakim Datuk Azman Abdullah bersetuju memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi 3 untuk pengurusan jaminan dan perbicaraan.
#aktiviti haram
#AmIslamic Bank
#Kuala Lumpur
#mahkamah
#Mahkamah Sesyen
#Mahkamah Tinggi
#Najib Razak
#pecah amanah
#Pertuduhan
#SRC International
#wang