Najib mengaku tidak bersalah arah pinda Laporan Akhir Audit 1MDB

Hilmi Malik, Fareez Azman
Disember 12, 2018 02:15 MYT
Najib hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. --fotoBERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengarahkan pindaan laporan akhir Pengauditan 1MDB.
Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.
Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Mengikut pertuduhan beliau didapati bersalah menggunakan jawatan sebagai Perdana Menteri mendapatkan suapan iaitu perlindungan daripada tindakan bersifat tatatertib, sivil atau jenayah mengenai 1MDB dengan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum dimuktamad dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira Kira Wang Awam Negara (PAC).

#PindaLaporanAudit #1MDB Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengarahkan pindaan laporan akhir Pengauditan 1MDB. @501Awani pic.twitter.com/clLb1KZ2aJ

— Fareez Azman (@Fareez_Awani) December 12, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu diantara 22 hingga 26 Februari 2016 di Kompleks Jabatan Perdana Menteri.
Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes akan didengar pada 4 Januari depan.
#1MDB #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Kuala Lumpur #Mahkamah Sesyen #Najib Razak #Pertuduhan