Najib mahu orang Melayu bandar tidak terpinggir

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 18, 2015 19:01 MYT
NAJIB: Saya tidak mahu orang Melayu di Kuala Lumpur, di Kampung Baru sinonim dengan kawasan-kawasan yang boleh dikatakan bertaraf setinggan atau marhaen. - Foto Astro AWANI
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu orang Melayu terutama mereka yang menetap di tengah Bandaraya Kuala Lumpur tidak terpinggir dari arus pembangunan.
Katanya, komuniti Melayu di Kuala Lumpur tidak akan wujud lagi atau terpinggir di kawasan itu selepas Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) dilaksanakan.
"Kalau kita sebut orang Melayu di Kuala Lumpur, saya tidak mahu orang Melayu sinonim dengan kawasan-kawasan yang boleh dikatakan bertaraf setinggan ataupun bertaraf marhaen. Ini tidak boleh.
"Saya mahu orang Melayu di Kampung Bharu ini dilihat sebagai komunitii yang maju dan mempunyai kedudukan ekonomi dan status sosial yang boleh dibanggakan," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Rakyat Kampong Baru, Legasi Bharu di sini, hari ini.
Katanya, usaha itu juga merupakan sebahagian daripada gambaran serta hasrat kerajaan dalam memastikan tiada komuniti Melayu di Kuala Lumpur yang terpinggir.
"Sebab itulah,konsep pembangunan Kampung Baru ini, supaya orang Melayu tidak dilihat terkeluar daripada arus perdana pembangunan negara. Ini mesej saya dan saya harap ini akan mencerminkan hasrat kerajaan.
"Umpamanya kita lihat ada Jalan Petaling, kita ada Brickfields dan kita juga ingin melihat kedudukan orang Melayu sebagai komuniti yang berjaya," katanya.
Sementara itu, Najib turut menyampaikan sumbangan RM9.5 juta sebagai wang ihsan daripada kerajaan kepada penduduk yang terlibat dengan insiden tanah mendap di Kampung Pindah.
Pada majlis itu juga, Najib turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Legasi Kampung Bharu yang dimajukan Uda Holdings Berhad yang merupakan pembangunan bercampur 30 tingkat pejabat dan 41 tingkat pangsapuri.
Selain projek tersebut, Kampung Baru juga bakal berwajah baru dengan adanya Pusat Bandar Kampong Bharu (KBCC) yang akan menempatkan bangunan ikonik seperti pejabat, kediaman, hotel termasuk kemudahan awam.
Ketika ini, terdapat dua projek pembangunan yang telah siap dibina iaitu pembinaan semula Masjid Jamek Kampung Baru dan pembangunan 21 tingkat Suite Perniagaan menara Uniti di Jalan Raja Muda Abdul Azizi.
Selain itu, terdapat lima projek dalam pembinaan, manakala lapan lagi masih menanti kelulusan kebenaran merancang dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi 13 projek tersebut berjumlah lebih RM1 bilion.
#Kampung Baru #Melayu #Najib Razak #pembangunan #Perdana Menteri #terpinggir
;