Najib mahu bentuk pasukan Kabinet yang setia - penganalisis
Rahimah Abdullah
Julai 29, 2015 16:15 MYT
Julai 29, 2015 16:15 MYT
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Fuad Othman menyifatkan rombakan Kabinet yang dilakukan perdana menteri menunjukkan beliau mahukan sebuah pasukan yang setia dan sentiasa bersama-sama dengannya walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
"Ada tiga perkara, yang pertama, rombakan ini dibuat demi membentuk satu pasukan Kabinet yang mantap dan boleh bekerja keras lagi kerana banyak lagi agenda negara perlu dilaksanakan.
"Kedua, perdana menteri mahukan satu pasukan Kabinet yang taat setia dan akan sentiasa bersama-sama dengannya walau dalam apa jua keadaan kerana ini penting untuk mewujudkan satu pasukan yang boleh bekerja, bukan sahaja untuk negeri, tetapi juga untuk agama, bangsa, negara," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini.
Langkah itu juga dilihat sebagai suatu langkah politik dalam usaha memenangi hati rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
"Ini adalah langkah politik untuk menyediakan Barisan Nasional (BN) dalam menuju Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) supaya menjelang PRU itu, kerajaan mampu membuktikan mereka yang terbaik," kata beliau.
Mengulas lanjut, beliau melihat perdana menteri sebagai pemimpin yang sedia menerima pendapat, namun ia perlu dibuat dalam saluran yang sepatutnya.
"Seperti mana perdana menteri kata, tidak ada masalah dengan perbezaan pendapat. Beliau pun banyak terima pendapat dan pandangan, tetapi apabila saranan ini dikeluarkan di luar kebiasaan, maka boleh timbul masalah dan tanggapan negatif.
"Ia sepatutnya dilakukan dalam saluran dalaman, cara itulah yang saya kira terbaik," tambah beliau.
Ditanya mengenai landskap politik negara selepas ini, beliau menjelaskan, ia banyak bergantung kepada keupayaan barisan Kabinet baharu berkenaan.
"Rakyat akan menilai sejauh mana Kabinet baharu menyampaikan aspirasi mereka dan membawa negara ke arah yang lebih baik lagi," ujarnya.