Najib lancar tabung amanah Felcra
Harits Asyraf Hasnan
Mei 28, 2015 20:06 MYT
Mei 28, 2015 20:06 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelancaran Tabung Amanah Peserta Felcra dengan modal permulaan RM10 juta.
Jelas Najib, tabung ini dilancarkan bertujuan membantu peserta Felcra yang mengalami masalah kekangan modal pusingan lantaran tanah dimajukan berskala kecil dan kurang berdaya maju.
Permodalan Felcra Sdn Bhd diberi tanggungjawab menguruskan dana tersebut.
"Setiap tahun Felcra Berhad akan menyuntik modal tambahan sekurang-kurangnya RM5 juta. Lebih banyak keuntungan, lebih banyak suntikan modal tambahan," katanya ketika berucap melancarkan projek pembangunan Menara Felcra di Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak) di sini hari ini.
Dengan pelancaran tabung itu, Najib berharap ia menjadi sebahagian daripada usaha untuk terus memajukan Felcra ke peringkat global.
Dalam pada itu, Pengerusi Felcra, Datuk Bung Moktar Radin berkata dana tabung tersebut akan digunakan untuk pelaburan pembangunan Felcra.
"Tahun lepas sahaja kita terima keuntungan RM130 juta. Jadi peserta tanya saya, "Apa yang kami dapat?".
"Jadi tabung ini akan diberi semula kepada peserta selepas menerima keuntungan hasil pelaburan," jelas Bung pada sidang media.
Berkenaan Menara Felcra, agensi tersebut melaburkan sebanyak RM850 juta di mana pulangan pelaburan tersebut dijangka bakal diterima dalam tempoh tiga tahun.
Menara tersebut merangkumi menara pejabat setinggi 35 tingkat, 'service apartment' 43 tingkat dan pusat komersil meliputi pusat membeli-belah, auditorium dan dewan bankuet.
Menara yang bakal mula pembinaannya pada suku ketiga tahun ini dijangka siap dalam tempoh kurang tiga tahun.