Najib lancar projek Warisan Merdeka, bakal muncul menara tertinggi Malaysia

Dania Zainuddin
Mac 16, 2016 18:59 MYT
Projek pembangunan milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dijangka siap pada tahun 2020. - Foto Astro AWANI
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancar dan menamakan projek fasa pertama Warisan Merdeka melibatkan pembangunan menara ikonik 118 tingkat di sini sebagai Merdeka PNB118.
Ia juga bakal muncul sebagai menara tertinggi Malaysia apabila siap kelak.
"Kesemua kejayaan yang dicapai PNB serta kejayaan syarikat-syarikat di Malaysia adalah bersandarkan kemampuan kerajaan dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang.
"Inisiatif PNB ini adalah sejajar dengan matlamat dan visi kerajaan," kata Najib dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Projek Warisan Merdeka di Kuala Lumpur pada Rabu.
Ia adalah sebuah projek pembangunan milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dijangka siap pada tahun 2020.
Menurut Najib, pembangunan projek itu adalah simbol kebanggaan dan manifestasi kejayaan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi.
Ia adalah sebuah projek pembangunan milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dijangka siap pada 2020.
Projek Warisan Merdeka adalah projek pembangunan Bangunan Warisan 118 yang terletak di lokasi strategik di dalam kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur oleh syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Sementara itu, menurut Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, projek itu bakal memberi nilai tambah kepada kawasan sekitar dengan jangkaan lebih 10,000 peluang pekerjaan serta menawarkan peluang perniagaan bagi lebih 100 bidang kemahiran.
"Kos pembangunan bagi fasa pertama ada RM5 bilion. Projek ini dijangka akan menjana impak ekonomi berganda sehingga 11 bilion ringgit.
"Menara ikonik ini juga akan menjadi menara tertinggi di Malaysia, kedua tertinggi di Asia dan kelima tertinggi di dunia," kata Ahmad Sarji dalam ucapannya.
Katanya lagi, projek ini adalah projek pembangunan bercampur-campur yang dibangunkan secara tiga fasa di atas tanah berkeluasan kira-kira 19 ekar dan keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.
#Najib Razak #Permodalan Nasional Berhad #PNB #Tun Ahmad Sarji #warisan merdeka
;