Najib lancar Indeks Syariah Malaysia

Bernama
Februari 10, 2015 18:39 MYT
Najib berkata keunikan indeks itu adalah kerana pengukurannya yang lebih menyeluruh. Gambar fail
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Indeks Syariah Malaysia yang merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini melalui pengukuran tuntutan syarak yang lebih menyeluruh.
Indeks pertama seumpamanya yang pernah dibangunkan di dunia itu akan menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek Maqasid Syariah (dikehendaki oleh syarak) iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta.
Najib berkata keunikan indeks itu adalah kerana pengukurannya yang lebih menyeluruh kerana pada fasa permulaan ia meliputi lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.
"Kita mengukur dan menyemak sama ada dasar dan program yang ditetapkan kerajaan melalui kementerian serta agensi berkaitan menepati atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah itu sendiri," katanya.
Najib berkata demikian pada Majlis Perdana Ulama-Umara 2015 Bersama Perdana Menteri dan pelancaran Indeks Syariah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Katanya Indeks Syariah Malaysia merupakan kaedah pengukuran saintifik yang boleh menepati dua fungsi penting iaitu menilai keseriusan usaha kerajaan dari tahun ke tahun dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan dan keduanya, mengenal pasti ruang pembaikan yang perlu diberi fokus untuk menerima lebih manfaat hasil penerapan nilai sejagat dalam Islam.
Perdana Menteri menegaskan Indeks Syariah Malaysia adalah berorientasikan pengukuran usaha dan bukannya semata-mata hanya menilai tahap pencapaian dalam menterjemahkan prinsip serta nilai Islam.
Dalam konteks itu, katanya, lebih tinggi nilai indeks bagi satu-satu bidang bukan sahaja menunjukkan bidang berkenaan mempunyai tahap patuh syariah yang tinggi tetapi juga kualiti pelaksanaan dasar serta program bidang berkenaan boleh dibaca sebagai baik.
"Sesuatu dasar itu mungkin patuh syariah, tetapi yang penting adalah bagaimana dasar itu dilaksanakan dengan adil, cekap dan tepat pada sasarannya supaya keindahan dan rahmat di sebalik Maqasid Syariah itu lebih terserlah," katanya.
Najib berkata Maqasid Syariah sememangnya telah lama diaplikasikan sebagai teras dalam pemerintahan di Malaysia namun belum pernah diukur pada satu tahap yang sebenar.
Katanya kebanyakan dasar serta program kerajaan tidak dilihat sebagai menepati tuntutan hanya semata-mata ia tidak dijenamakan dan berlabel Islam.
"Kita sesungguhnya tidak mahu hanya berjaya menyajikan kepada masyarakat sesuatu yang bersifat pelabelan semata-semata. Adakah sesuatu yang tidak dilabelkan dengan jenama Islam, maka secara automatik ia menjadi tidak Islamik? Dan adakah jika sesuatu itu dilabelkan sebagai Islam, maka ia benar-benar menepati kehendak Islam," katanya.
Najib memberikan contoh sekolah rendah kebangsaan kerajaan yang tidak menggunakan label sebagai sekolah rendah kebangsaan Islam, namun tetap mempunyai sukatan pelajaran yang menekankan nilai Islam seperti Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).
Katanya jika status maju atau mundurnya sesebuah negara diukur menggunakan Indeks Pembangunan Manusia, adalah sangat perlu untuk Malaysia mempunyai satu kayu ukur yang objektif dan saintifik bagi mengukur kedudukan dalam menjalankan pentadbiran negara berdasarkan prinsip Maqasid Syariah.
Katanya walaupun istilah indeks Syariah telah diguna pelbagai pihak sebelum ini, namun indeks berkenaan lebih banyak digunakan untuk mengukur tahap kepatuhan Syariah dalam bidang tertentu seperti kewangan, perhotelan, industri makanan dan pasaran saham.
"Jika dahulu kita tidak ada satu kaedah ukuran yang saintifik dan sistematik, maka dengan indeks ini sekurang-kurangnya ada kaedah untuk mengetahui di mana status kita, bukan sahaja dari segi tahap patuh Syariah, tetapi usaha kerajaan dalam penggubalan dasar dan program," katanya.
Mengenai pembentukan model indeks berkenaan, Najib berkata Jawatankuasa Teknikal Indeks Syariah Malaysia telah melakukan lawatan penandaaras ke empat negara Islam iaitu Indonesia, Pakistan, Turki dan Maghribi untuk melihat tahap patuh Syariah dalam bidang yang dipilih.
"Kita bersyukur kerana bumi Malaysia adalah bumi yang sangat bertuah. Dengan keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini, maka inisiatif yang menyeluruh seperti model Indeks Syariah Malaysia dapat dibina dan dibangunkan sebaiknya," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak menerima usaha telus itu untuk menambah baik pentadbiran kerajaan yang menepati tuntutan Islam melalui Maqasid Syariah.
"Jika sebelum ini banyak pihak yang mempertikaikannya, tetapi dengan pengenalan indeks ini yang merupakan satu kaedah yang objektif, telus, komprehensif, akan mampu memberi indikator pencapaian yang lebih tepat," katanya.
Najib berkata masyarakat bukan Islam juga akan mendapat manfaat menerusi penggunaan Indeks Syariah Malaysia dan ia terbukti apabila ramai pemegang Akaun Mudharabah dalam bank-bank yang melaksanakan perbankan Islam di Malaysia terdiri daripada orang bukan Islam.
"Sesungguhnya nilai-nilai murni seperi keadilan, ketelusan dan kebaikan di dalam sistem akad Islam inilah yang telah menarik minat orang bukan Islam untuk menjadi antara golongan paling ramai membula Akaun Mudharabah (perkongsian keuntungan yang beramanah)," katanya.
Perkara sama juga dapat dilihat melalui pemilikan sijil halal Malaysia iaitu hampir 68 peratus adalah daripada kalangan bukan Islam serta produk syariah lain seperti takaful dan sistem gadaian Islam telah menarik minat dan penglibatan mereka untuk mengambil manfaat daripada produk syariah itu, katanya.
"Tentu sekali kaedah pengiraan Indeks Syariah Malaysia yang telah dibina akan dimantapkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa.
"Dengan peralihan tempoh yang sesuai, jumlah bidang yang diukur akan ditambah, aspek yang disemak akan diperincikan, kategori mereka yang diperolehi respons serta persepsi akan dipelbagaikan dan skop agensi serta dasar yang dinilai akan diperluaskan," katanya.
#Indeks Syariah Malaysia #Islam #Najib Tun Razak #Perdana Menteri
;