Najib lahirkan komitmen pastikan Malaysia tidak terdedah kepada serangan pengganas

Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Januari 25, 2016 11:00 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba pada Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Menangani Keganasan Melampau di ibu negara pagi ini. - Foto Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan komitmen beliau dalam memastikan Malaysia tidak terdedah kepada kemungkinan serangan pengganas.
"Kita tidak boleh tunggu sehingga insiden buruk berlaku sebelum melaksanakan tindakan.
"Kita harus mengambil tindakan pencegahan sebelum apa-apa tragedi berlaku," kata Najib dalam ucapannya ketika upacara perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan di sini.
Tambah Najib, persidangan ini adalah platform untuk mengukuhkan kerjasama antara agensi keselamatan dalam negara-negara terlibat.
"Kita perlu kongsi dan membuat analisis terhadap pengamalan langkah terbaik dalam usaha kita untuk deradikalisasi.
"Kita tidak boleh benarkan ancaman pengganas berada di negara ini. Kita perlu kekalkan keamanan bersama," kata Najib.
Malah, beliau turut mengakui menjadi tanggungjawabnya untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menjamin keselamatan rakyat dan negara.
Najib turut melahirkan rasa berbesar hati atas kesudian kesemua wakil negara yang hadir untuk membincangkan polisi deradikalisasi dalam usaha bersama untuk menangani ancaman pengganas.
Turut hadir ketika upacara perasmian, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kesemua wakil dari negara ASEAN menghadiri persidangan ini dan sembilan lagi menteri-menteri negara rakan strategik seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Britain, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, China dan Itali.
Persidangan ini dianjurkan susulan daripada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN mengenai peningkatan radikalisasi dan keganasan melampau yang diadakan pada Oktober tahun lepas.
#ASEAN #Deradikalisasi dan Memerangi Ancaman Keganasan #Najib Razak #Perdana Menteri #Zahid Hamidi
;