Najib kongsi detik peribadi deklarasi Komuniti ASEAN

Tan Su Lin
November 22, 2015 00:22 MYT
NAJIB: Apabila saya ingin menandatangan deklarasi penubuhan komuniti ASEAN, tiba-tiba saya teringat Allahyarham bapa saya yang menandatangani Deklarasi Bangkok pada 1967. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemeteraian dokumen komuniti ASEAN yang ditandatanganinya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-27, sebagai amat peribadi.
Ini kerana ia mengingatkannya kepada Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein yang menandatangani Deklarasi Bangkok pada 1967 untuk membentuk gagasan ASEAN.
Ujar Najib, beliau tidak pernah terbayang akan menandatangani deklarasi itu yang melakar sejarah baharu sejak penubuhan ASEAN.
"Saya ingin berkongsi dengan anda sesuatu yang amat peribadi. Apabila saya ingin menandatangan deklarasi penubuhan komuniti ASEAN, tiba-tiba saya teringat Allahyarham bapa saya yang menandatangani Deklarasi Bangkok pada 1967.
"Saya tidak pernah terbayang bahawa saya pula akan menandatangani dokumen ini 48 tahun kemudian yang menandakan evolusi penting sejak penubuhan ASEAN," kata beliau pada sidang akhbar setelah berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Najib juga menyifatkan sidang kemuncak ASEAN ini sebagai paling berjaya dalam membincangkan isu-isu semasa termasuk keganasan dan konflik di Laut China Selatan.
"Saya sifatkan sidang kemuncak kali ini sebagai sidang kemuncak ASEAN paling berjaya. Malah, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (Pbb) Ban Ki-Moon sanggup datang dari New York hanya untuk sehari bagi menghadiri sidang kemuncak ini.
Ia menunjukkan betapa meningkatnya pengiktirafan global terhadap ASEAN yang dilihat bukan semata-mata sebuah pertubuhan serantau, tetapi telah mencapai tahap di mana dunia mengiktiraf kepentingannya."
Selain pemeteraian Deklarasi Penubuhan Komuniti ASEAN dan Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2025, 18 dokumen berkaitan ASEAN turut diperakui oleh pemimpin-pemimpin ASEAN sepanjang berlangsungnya sidang kemuncak ASEAN ke-27.
#ASEAN #Najib Razak #Perdana Menteri #Tun Abdul Razak Hussein
;