Najib kirim soalan matematik untuk PH
Sinar Harian
November 13, 2018 05:19 MYT
November 13, 2018 05:19 MYT
Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak mengirim soalan matematik mudah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dalam perkongsian di laman sosial Facebook miliknya Selasa, bekas Perdana Menteri itu bertanya mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini digantung kerajaan dan kosnya sedang dirunding semula.
Katanya, kerajaan PH berpendirian hutang tempoh 20 tahun untuk projek itu yang kadar faedahnya 3.25 peratus begitu membebankan dan mendakwa negara tidak mampu melaksanakannya.
"Projek ECRL untuk merancak dan membangun ekonomi rakyat pantai timur dan akan memberi pulangan ekonomi kepada negara, menelan kos RM55 bilion.
"Kalau dibahagikan jumlah hutang RM55 bilion kepada ansuran 20 tahun, maksudnya kos ansuran termasuk faedah ialah sekitar RM2.85 bilion setahun," katanya.
Namun, beliau berkata, kerajaan PH 'memaksa' Petronas membayar dividen berjumlah RM80 bilion iaitu RM26 bilion pada tahun ini dan RM54 bilion pada 2019, selain sanggup melepaskan hasil RM25 bilion setiap tahun apabila menukar cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
"Penukaran cukai itu satu langkah yang banyak menguntungkan ekonomi gelap dan orang kaya yang sering mengelak cukai.
"Jadi, adakah dividen RM80 bilion dari Petronas ataupun hasil tambahan RM25 bilion setiap tahun tidak cukup untuk membayar kos ECRL sebanyak RM2.85 bilion setiap tahun?" soalnya.
Najib turut mempersoalkan tindakan kerajaan berbuat demikian seolah-olah menafikan hak rakyat pantai timur menerima pembangunan.
"Adakah rakyat pantai timur tak layak menerima pembangunan atau peluang meningkatkan ekonomi mereka?" soalnya.
#cukai
#ECRL
#ekonomi
#Facebook
#GST
#hutang
#kadar faedah
#kerajaan
#kos
#kos ansuran
#Laluan Rel Pantai Timur
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#Pantai Timur
#Petronas
#PH
#soalan matematik
#SST