Najib ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak APEC

Bernama
Oktober 5, 2013 16:57 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat pemimpin ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-20 di Indonesia, pada 7 dan 8 Okt.
Seramai 15 pemimpin dan enam wakil khas negara-negara anggota difahamkan akan hadir, termasuk Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper.
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengesahkan tidak hadir dan menamakan Setiausaha Negara US, John Kerry sebagai wakil beliau pada sidang kemuncak APEC itu.
Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin berkata ketidakhadiran Obama tidak akan menjejaskan perjalanan sidang kemuncak ini, cuma beberapa pertemuan dengan pemimpin ekonomi negara lain yang sepatutnya diadakan, terpaksa dibatalkan.
"Sidang kemuncak Apec lazimnya melibatkan para pemimpin ekonomi, termasuk Obama. Walaupun dia tidak hadir, wakilnya ada.
"Oleh itu, segala keputusan mesyuarat yang akan dibuat merangkumi seluruh wakil dari ekonomi yang ada, termasuk suara kerajaan US," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada sidang kemuncak APEC ini juga, Najib dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Australia dan New Zealand.
Difahamkan Najib juga dijadual bertemu Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.
Sidang kemuncak APEC kali ini yang bertemakan 'Ke arah Daya Tahan Asia Pasifik, Enjin Pertumbuhan Global' bermula dengan Mesyuarat para pegawai kanan pada Selasa dan Rabu lepas, diikuti Mesyuarat Peringkat Menteri semalam dan hari ini serta sidang kemuncak ketua ekonomi pada Isnin dan Selasa ini.
#APEC #Barack Obama #John Kerry #Najib Razak #Sidang Kemuncak APEC #Susilo Bambang Yudhoyono
;