Najib jawab kenapa Jho Low diberi peranan penting
Sinar Harian
Jun 29, 2018 08:53 MYT
Jun 29, 2018 08:53 MYT
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan alasannya memberikan peranan penting kepada Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kata Najib, Jho Low mempunyai hubungan strategik dengan kepimpinan Raja Arab Saudi, Allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz dan kerabatnya serta juga istana beberapa negara terutamanya di UAE yang mungkin memberi faedah kepada Malaysia.
Malah, menurutnya, sebelum 1MDB wujud, Jho Low sudah mengawal tiga syarikat tersenarai di Malaysia dan mempunyai pelaburan dalam projek Iskandar Johor dengan dana dikatakan dari Asia Barat.
“Dia membina hubungan ini yang boleh memberikan nilai kepada Malaysia. Itu konteksnya. Apa yang dia buat dengan mereka di luar pengetahuan saya. Dalam konteks itu Jho Low mewakili rakan-rakan kongsi di Asia Barat dan rundingan serta perkongsian dengan 1MDB.
“Dia ketika itu berjaya kagumkan banyak pihak, termasuk saya dengan hubungannya dengan Asia Barat,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini.
Najib juga berkata Allahyarham Raja Abdullah memberikan sokongan supaya 1MDB menjalankan kerjasama dengan PetroSaudi.
“Malah, kedutaan Arab Saudi di Malaysia, termasuk beberapa bank utama di sana, menulis surat sokongan untuk PetroSaudi,” katanya.
PetroSaudi dimiliki oleh Putera Turki Abdullah Al Saud, putera ketujuh Raja Abdullah. Putera Turki kemudian menjadi timbalan gabenor dan kemudian gabenor Riyadh, kota paling besar di Arab Saudi.
Selain penjelasan hubungan itu memberi faedah kepada Malaysia, Najib tidak menghuraikan lanjut perkara itu.
Bagaimanapun, Najib berkata hubungan erat dengan Arab Saudi turut membantu permohonan tambahan kuota haji untuk Malaysia.
Mengulas soalan sama ada beliau ada berhubungan dengan Jho Low ketika dakwaan terhadap bilionair itu muncul, Najib berkata ia sudah lama berlalu.
“Ya, saya ada (berhubungan dengan dia) dan dia kata bukan untuknya. Katanya dia bertindak bagi pihak istana Timur Tengah. Itu jawapannya,” katanya.
Najib berkata, beliau tidak bertanya tentang kapal layar mewah Equanimity ketika itu kerana tidak menyedari kewujudannya.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Arab Saudi
#Asia Barat
#Haji
#Jho Low
#kuota
#Malaysia
#Malaysiakini
#Najib Razak
#pelaburan
#Perdana Menteri
#PetroSaudi
#raja abdullah abdulaziz
#Turki
#UAE