'Najib, jangan lupa saman Tun M' - Blogger
Astro Awani
Julai 4, 2015 19:14 MYT
Julai 4, 2015 19:14 MYT
Tidak ada pihak yang wajar terlepas daripada tindakan undang-undang oleh Perdana Menteri berhubung pelbagai tomahan yang dilemparkan terhadapnya.
Selain Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report, blogger Shahbudin Husin menggesa Datuk Seri Najib Razak turut mempertimbang tindakan sama terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa sebagai dalang terhadap semua pertuduhan itu.
"Bagaimanapun, sehingga kini tidak dipastikan siapakah yang bakal diambil tindakan undang-undang itu? Adakah ianya WSJ? Adakah ia Sarawak Report yang banyak melakukan serangan terhadapnya (Perdana Menteri) yang didakwa bekerjasama dengan WSJ itu?" kata Shahbudin yang dipetik dalam blognya, Shahbudin.com hari ini.
"Atau adakah saman itu akan diambil terhadap 'tok dalang' bernama Tun Mahathir yang dituduhnya secara terbuka memainkan peranan di belakang tabir serangan terbaru ini?" katanya lagi.
Pada Jumaat, Najib mendakwa mantan perdana menteri itu merupakan individu di sebalik pembohongan yang dibuat termasuk oleh Sarawak Report.
Tuduhan tidak berasas itu katanya, adalah susulan keengganan beliau untuk tunduk kepada pihak tertentu kerana tidak mahu Malaysia diperintah melalui proksi.
"Saya percaya, Tun (Mahathir) bekerjasama dengan bangsa asing, termasuk serangan politik blog Sarawak Report yang tidak boleh dipercayai, berada di belakang pembohongan terbaharu ini.
"Biar saya jelaskan: Saya tidak pernah mengambil dana untuk kepentingan peribadi seperti yang didakwa musuh-musuh politik saya – sama ada dari 1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti yang disahkan syarikat-syarikat ini," kata Najib di laman Facebooknya pada lewat malam Jumaat.
Sementara itu, Shahbudin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju menekankan, ianya tidak berguna jika tindakan undang-undang hanya dikenakan kepada WSJ tetapi dalang yang dikenal pasti dibiarkan terlepas.
"Dengan membiarkan lepas bebas dan tidak diambil sebarang tindakan, 'tok dalang' boleh terus mencari panggung lain untuk memainkan peranan di belakang tabirnya," ujar Shahbudin.
Tambahnya, menuduh Dr Mahathir sebagai dalang dalam laporan WSJ yang mengaitkannya dengan isu itu adalah satu pertuduhan yang berat dan serius terhadap bekas perdana menteri itu.
"Lagi pula, menuduh Tun Mahathir sebagai dalang dalam laporan WSJ yang mengaitkannya (Najib) dengan pengambilan wang untuk kepentingan peribadi sedangkan ia diketahui sebuah akhbar perniagaan berpengaruh di dunia dengan usia sudah menjangkau 125 tahun dan jumlah edaran sebanyak 2.5 juta sehari, adalah suatu pertuduhan yang berat dan serius terhadap bekas Perdana Menteri itu," katanya lagi.
Sindirnya, kecualilah tindakan saman itu turut diambil terhadap Dr Mahathir, tuduhan sebagai dalang ini, sebaliknya membuka ruang kepada negarawan itu untuk mengemukakan saman kepada Najib.