Najib: Isteri saya juga ada sumbangan kepada rakyat Malaysia
Astro Awani
Disember 7, 2013 18:46 MYT
Disember 7, 2013 18:46 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merakamkan penghargaan kepada isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor yang disifatkan turut memberi sumbangan kepada rakyat Malaysia.
Najib yang juga Presiden UMNO memberikan dua contoh sumbangan yang diberikan oleh Rosmah yang tidak pernah diceritakan sebelum ini.
"Pada program Flotila dua tahun lepas, salah seorang pelajar kita telah disalah anggap oleh kerajaan Mesir sebagai perisik.
"Saya minta isteri saya mohon bantuan isteri kepada Hosni Mubarak, yang berkuasa pada ketika itu dan dalam masa dua jam, pelajar kita dibebaskan.
"Sewaktu Ops Piramid, apabila kita nak bawa balik pelajar menaiki pesawat Charlie, melalui Jeddah. Kerana hubungan baik dengan keluarga diraja Saudi, pelajar kita dibenarkan terbang tanpa visa.
"Bukan itu sahaja, kerajaan Saudi turut berikan penerbangan dua buah pesawat Jumbo dengan percuma," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Rosmah dikritik hebat oleh pemimpin pembangkang kerana menggunakan jet eksekutif kerajaan untuk lawatan peribadinya ke Timur Tengah.