Najib ingatkan tiada penyalahgunaan kuasa, politik wang dalam pemilihan Umno
Bernama
September 21, 2013 20:25 MYT
September 21, 2013 20:25 MYT
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menasihatkan semua anggota Umno supaya tidak menyalahgunakan kuasa, mengamalkan politik wang atau menyerang secara peribadi dalam usaha mendapatkan mana-mana jawatan dalam pemilihan Umno tahun ini.
Perdana menteri mengingatkan mereka supaya mengekalkan demokrasi dengan menjaga tata tertib dan kesopanan sepanjang masa berkempen.
"Nasihat saya bukan untuk jawatan naib presiden sahaja tetapi untuk semua jawatan, maknanya kita mesti jaga ketertiban, kesopanan dalam kempen- kempen secara beradab.
"Jangan guna wang dan juga salahguna kuasa, jangan menyerang peribadi dan sebagainya, ini semua kita akan tentukan garis panduan yang sesuai dan jawatankuasa disiplin akan meneliti perjalanan kempen kita," katanya pada sidang media sebelum berlepas ke Amerika Syarikat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Najib berkata tindakan tidak beretika oleh mana-mana pihak pastinya akan menjejaskan imej dan nama baik parti terbesar di negara ini yang juga merupakan parti keramat bagi orang Melayu.
"Saya berharap semuanya dapat berjalan dengan penuh adab, ketertiban dan menjaga imej parti kita supaya tidak tercalar dengan apa juga tindakan, perbuatan, pertuturan ataupun risalah kempen yang dilakukan mana-mana pihak sama ada dari calon sendiri ataupun penyokong calon," katanya.
Tegas beliau semua pihak perlu menghormati garis panduan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa pengurusan dan jawatankuasa disiplin parti itu mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
"Kita meminda perlembagaan dengan tujuan tersebut (demokrasi) kalau tidak kita tidak menjadikan parti kita lebih terbuka seperti yang kita lihat hari ini berdasarkan perlembagaan baharu.
Katanya tindakan tanpa batas boleh merosakkan kepentingn parti, justeru beliau mengingatkan semua pihak supaya mengikuti peraturan-peraturan yang ditetapkan, bagi menyuburkan amalan demokrasi.
"Melalui demokrasi, parti kita akan lebih disanjung tinggi oleh rakyat yang sentiasa memandang kepada perjalanan pertandingan dalam Umno. Sebagai parti terbesar dalam negara, sudah tentu ia akan menjadi penelitian rakyat jelata sepanjang kempen yang akan berlangsung selepas ini," katanya.
Pendaftaran bagi calon-calon yang akan bertanding dalam pemilihan Umno bulan depan diadakan secara serentak hari ini di seluruh negara kecuali Sarawak yang tiada Umno.